Mahkamah tolak saman fitnah pakar perubatan HTJS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini menolak saman fitnah yang difailkan seorang pakar perubatan kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) terhadap seorang pegawai perubatan siswazah di hospital itu berhubung surat aduan yang dikemukakan terhadapnya.

Hakim Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Dr Suraina Mohamad yang merupakan pakar perubatan Gred UD54 gagal membuktikan tuntutan terhadap defendan, Dr Nur Qalida Amirah Mahazir yang merupakan pegawai perubatan siswazah berpangkat junior Gred UD41.

"Setelah meneliti semua keterangan saksi-saksi plaintif dan defendan dan eksibit-eksibit yang dikemukakan di samping turut mempertimbangkan kesemua hujahan bertulis dari kedua-dua pihak di atas imbangan kebarangkalian, mahkamah memutuskan pihak plaintif telah gagal membuktikan tuntutan terhadap defendan.

"Dengan ini, tuntutan plaintif harus ditolak dengan kos," katanya.

Nur Qalida Amirah pada 14 Oktober 2019, telah membuat aduan mengenai 'harassment' atau gangguan yang berlaku di tempat kerjanya dilakukan oleh plaintif.

Dia memaklumkan selama lebih kurang sembilan bulan bekerja di jabatan berkenaan, seringkali melihat perkara-perkara yang tidak disenangi terjadi yang melibatkan plaintif terhadap rakan-rakan sejawatnya.

Antara yang di adu oleh Nur Qalida Amirah, plaintif kerap memberi 'extension' kepada 'house officers' atas sebab-sebab yang tidak munasabah antaranya dilabelkan sebagai 'incompetent' tanpa sebarang bukti, 'apply' cuti lama untuk urusan keluarga sebelum 'assessment' selesai dan tidak habis 'assessment' disebabkan tidak cukup masa disebabkan masa beliau terhad.

Defenden diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Vivi’Asnita Zaina’Larifin manakala plantif diwakili peguam, Syed Fadil Syed Othman, Muhammad Faiz Fadzil dan Mohd Sufian.

Artikel Berkaitan:

Pada Mei tahun lalu, Sinar Harian melaporkan terdapat dua laporan diterima berhubung kes doktor pelatih (HO) dibuli di dua hospital di Negeri Sembilan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan pada bulan Mac dan April lalu.

"Seorang HO memberitahu telah terima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana alami tekanan emosi.

"Seorang lagi HO mendakwa doktor mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan ada isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka," katanya.