Mahkamah batalkan saman fitnah Edmund Santhara terhadap Prabakaran

Prabakaran (kiri) bersama peguamnya, Dinesh Muthal
Prabakaran (kiri) bersama peguamnya, Dinesh Muthal
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mengesahkan saman fitnah yang difailkan oleh bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar terhadapnya ditolak Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut Prabakaran, mahkamah mendapati pertikaian beliau tidak melibatkan individu berkenaan secara peribadi namun perbuatan itu masih salah dilakukan sekiranya memegang jawatan.

“Mahkamah berpendapat bahawa pertikaian saya tidak melibatkan diri individu terbabit secara peribadi tetapi ia jelas melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang yang memikul jawatan sebagai timbalan menteri.

“Saya bersyukur kerana saman fitnah yang dikenakan ke atas saya telah ditolak disebabkan beberapa faktor yang diputuskan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan, Santhara telah memfailkan saman pada 23 Jun 2021 terhadap Prabakaran yang didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya mengenai lawatan ke New Zealand pada 2020.

Pada masa sama, beliau juga memaklumkan bahawa Prabakaran mengadakan sidang media di luar Suruhanjaya Tinggi New Zealand pada 17 Mac 2021 antara 9.30 pagi dan 2 petang, dengan mengeluarkan maklumat tidak benar dan palsu mengenai tanggungjawab plaintif sebagai timbalan menteri.

Justeru itu, Prabakaran menegaskan, sebagai seorang wakil rakyat beliau berhak untuk mempertikaikan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Jelasnya, ia termasuk dengan tindakan bercuti selama 55 hari ke New Zealand sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda wabak Covid-19.

“Saya berpendirian kemenangan ini merupakan satu kemenangan rakyat dan saya menginsafinya.

“Saya juga berdoa agar saya tidak melakukan perkara yang sama kerana ia melibatkan kepincangan dalam sebuah tatakekola. Selain itu saya jadikan sebagai satu contoh tauladan dan garis panduan dalam pentadbiran saya,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan peguam bela, Dinesh Muthal dan Co; barisan saksi terutamanya Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak; Senator, Isaiah Jacob dan seluruh individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam perbicaraan kes terbabit.