Belum terima peruntukan, Shahidan tuntut penjelasan PM

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut memberi penjelasan berhubung isu ketiadaan peruntukan terhadap ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, ahli Parlimen kerajaan didakwa telah menerima peruntukan berkenaan.

Jelasnya, walaupun Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah telah memberi respons berhubung perkara tersebut sebelum ini, namun Shahidan menganggap penjelasan daripada Anwar adalah lebih penting.

“Saya menuntut hak kami sebagai ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua ahli Parlimen.

“Hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh pembangkang terutamanya negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan daripada Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Mohd Sany mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan peruntukan yang dikatakan tidak diterima oleh ahli Parlimen pembangkang.

Jelas beliau, dakwaan Ahli Parlimen Arau itu adalah cubaan untuk menekan kerajaan agar mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil kerajaan menerusi Bajet 2023.

Artikel Berkaitan:

Shahidan terdahulu menyifatkan keputusan kerajaan untuk tidak memberikan faedah berkenaan kepada ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil.

Tambahnya, satu perbincangan secara berterusan akan dibuat bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan.