[VIDEO] PM digesa campur tangan penamatan kontrak 958 pekerja LHDN

Kamarul Baharin. Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Kamarul Baharin. Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk campur tangan berhubung 958 pekerja kontrak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang telah tamat perkhidmatan.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, meskipun berkhidmat secara kontrak iaitu gaji harian, ada dalam kalangan mereka yang telah bekerja belasan tahun.

"Kami merayu kepada PM supaya pekerja ini diambil semula bekerja kerana mereka merupakan pekerja bawahan dengan mendapat bayaran RM65 sehari," katanya.

Menurutnya, jumlah 958 pekerja kontrak tersebut meliputi seluruh cawangan LHDN di negara ini.

"Apabila pekerja ini diberhentikan ketika ini, mereka telah terputus pendapatan untuk sesuap nasi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat rayuan kepada Anwar menerusi Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pada Selasa.

Sebelum ini, LHDN menerusi kenyataan berkata, lembaga itu telah memaklumkan lebih awal mengenai kedudukan pekerja kontrak berkenaan.

Langkah tersebut bagi memastikan pekerja terlibat dapat mencari pekerjaan lain sebelum tempoh perkhidmatan berakhir 31 Disember lalu.

Sementara itu, Shamsul berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Anwar untuk diteliti dan diselesaikan.

Artikel Berkaitan: