Tamat kontrak: Pegawai LHDN dimaklumkan lebih awal

Kenyataan media LHDN pada Khamis.
Kenyataan media LHDN pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tidak menyambung perkhidmatan 42 orang pegawai kontrak bulanan dan 998 orang pegawai kontrak harian bermula 1 Januari ini telah dimaklumkan dan diperjelaskan lebih awal kepada semua kumpulan yang terlibat.

LHDN dalam kenyataan pada Khamis berkata, secara dasarnya penggajian pegawai-pegawai kontrak ini bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik iaitu berasaskan projek.

Justeru katanya, selaras dengan perkembangan dan pembangunan prasarana teknologi maklumat di LHDN, proses kerja di agensi ini telah melalui pelbagai fasa digitalisasi yang pesat, sekali gus merubah tatacara kerja.

Menurut kenyataan itu lagi, transformasi pendigitalan ini membolehkan kebanyakan tugasan dan fungsi kerja di LHDN diautomasikan seterusnya meningkatkan kos kecekapan dalam mentadbir sistem percukaian negara.

“Tindakan LHDN untuk tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak ini tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi ini selain memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran.

“Adalah diharapkan penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan dan salah tafsir semua pihak mengenai tindakan LHDN berkenaan isu penamatan pegawai kontrak ini.

“Selain itu juga, LHDN amat terbuka untuk menerima sebarang kritikan dan juga cadangan membina daripada masyarakat demi memastikan perkhidmatan percukaian yang diberikan adalah profesional seterusnya dapat meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia,” katanya.

Kenyataan LHDN ini menyusul susulan tular laporan di beberapa portal berita mengenai penamatan kontrak pegawai di agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pemakluman berkenaan keputusan untuk tidak meneruskan khidmat mereka juga telah dijelaskan seawal tahun 2022 kepada para pegawai yang terlibat bagi memberi ruang dan masa kepada kumpulan yang terkesan untuk mengatur perjalanan kerjaya mereka selain mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka.

Menyentuh mengenai aspek pengurusan kerjaya LHDN secara dalaman pula, penawaran lantikan ke jawatan tetap ke peringkat lebih tinggi iaitu ke peringkat eksekutif turut diberikan kepada pegawai-pegawai kontrak berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan.

Walau bagaimanapun katanya, lantikan ke jawatan tetap secara menyeluruh kepada semua pegawai kontrak tidak dapat dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan peluang antara calon kategori lain yang berkelayakan seperti calon dalam kalangan pegawai tetap sedia ada dan calon daripada luar LHDN.

“Untuk rekod, seramai 653 orang pegawai kontrak telahpun dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh mulai tahun 2017 hingga 2022,” katanya.