Remaja yatim piatu cari nafkah sara dua adik

Zaid (dua dari kiri) menerima sumbangan keperluan makanan daripada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani (kiri).
Zaid (dua dari kiri) menerima sumbangan keperluan makanan daripada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Kasih seorang abang bukan sahaja sanggup mengorbankan masa remajanya bahkan menangguhkan cita-cita sebagai anggota bomba demi menyara dua adiknya sejak bapa mereka meninggal dunia akibat paru-paru berair pada November tahun lalu.

Lebih memilukan mereka yang yatim piatu itu terlebih dahulu kehilangan ibu tercinta, Esah Abdul Ghani@Saleh, 30, akibat penyakit sama dan buah pinggang pada tahun 2017.

Kesempitan hidup diharungi oleh seorang pekerja kedai makan, Zaid Amran, 21, memaksanya menggalas tanggungjawab berat mencari nafkah buat adik perempuannya, Nur Hayati Husna, 18, dan adik lelaki bongsunya, Muhamad Zaidi, 16.

Zaid anak keempat daripada enam beradik itu sanggup menahan lapar demi mendahulukan keperluan dua adiknya dengan hasil upah kurang RM70 sehari bagi dua tugas yang dilakukan iaitu membancuh air dan mengambil pesanan di sebuah kedai makan tempat dia bekerja.

“Gaji tu saya berjimat-cermat. Bagi adik kenyang-kenyang dulu, kalau adik makan tiga kali sehari, saya makan sekali pun sudah cukup.

“Ada juga hari tak makan tetapi saya boleh makan di kedai tempat saya bekerja,” katanya ketika ditemui di rumah peninggalan arwah bapa mereka di Taman Sri Nilam, Kampung Tembesu Limbat, Pasir Tumboh di sini pada Ahad.

Nur Hayati Husna masih belajar di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar 1 dan bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan depan manakala Muhamad Zaid pula pelajar Tingkatan Tiga di SMK Long Gafar 2.

Tiga beradik yatim piatu kematian bapa pada November tahun lalu manakala ibu mereka juga sudah meninggal dunia pada tahun 2017.
Tiga beradik yatim piatu kematian bapa pada November tahun lalu manakala ibu mereka juga sudah meninggal dunia pada tahun 2017.

Artikel Berkaitan:

Zaid berkata, dia perlu memberikan wang saku RM5 setiap hari kepada setiap adiknya sebagai bekalan belanja mereka makan di sekolah.

Bebanan ditanggung itu kadang-kala diringankan oleh jiran, Rohazah Abdullah, 56, yang sudah dianggap sebagai ibu tempat mereka menumpang kasih.

“Dia akan datang membantu mengemas rumah, membawa makanan dan mengejutkan kami untuk solat Subuh setiap hari.

“Saudara-mara kami ada juga datang bertanya khabar dan kami ada tiga abang iaitu dua daripadanya baharu sahaja diterima menjalani latihan sebagai tentera di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Jelas Zaid lagi, ada ibu dan bapa saudara yang meminta untuk menjaga adik-adiknya, namun ikatan kuat antara mereka menyebabkan masing-masing enggan berpisah antara satu sama lain.

“Saya tak sanggup melepaskan adik-adik tinggal berjauhan di tempat lain. Saya sayang mereka dan ini adalah tanggungjawab saya untuk menjaga kedua-duanya.

“Walaupun sukar, saya tetap akan pegang amanah arwah bapa yang berpesan supaya menjaga adik-adik dengan baik,” luah Zaid yang turut memberitahu akan membuat permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan bagi meringankan bebannya itu.

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh salurkan ke akaun BSN Zaid Amran 0310129000120426 atau hubunginya di talian 01125030177.