Dua insiden maut dalam tempoh tidak sampai tiga bulan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TIDAK sampai tiga kali bulan selepas berlakunya kejadian maut membabitkan seorang pelumba drag di Terengganu, acara permotoran negara dikejutkan dengan satu lagi insiden yang membabitkan kehilangan nyawa.

Lebih menyayat hati, kejadian korban kali ini melibatkan penonton yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan yang diadakan di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak pada Sabtu.

Dalam insiden tersebut, mangsa yang merupakan seorang pengusaha bengkel dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika berada di tepi litar perlumbaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang juga salah seorang penonton berada dalam jarak 9 meter dari laluan litar tersebut sebelum dilanggar oleh kenderaan terbabit yang terbabas ketika perlumbaan.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah diberi rawatan oleh pasukan perubatan di lokasi perlumbaan namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, Parit, Perak.

Pada Ahad, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh penganjuran pertandingan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.

Katanya, pelbagai aspek perlu diteliti terlebih dahulu terutama membabitkan isu keselamatan di litar berkenaan.

Menurut Khairudin, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan di setiap acara sukan bermotor dan menegaskan hawa pihak penganjur pelu bertanggungjawab terhadap kecuaian melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Malang sememangnya tidak berbau. Namun, insiden terbabit seharusnya boleh dielakkan jika segala langkah keselamatan diambil berat oleh semua pihak terutamanya yang membabitkan sukan berisiko tinggi seperti dalam bidang permotoran.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan hukuman berat sekiranya siasatan mendapati terdapat kecuaian atau pengabaian tanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya kejadian tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!