Jurulatih tampar pemain: Hentikan segera jika sudah jadi budaya

Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Kanan: Young Syefura)
Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Kanan: Young Syefura)
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden jurulatih menampar pemain bola tampar perempuan di peringkat sekolah tidak sepatutnya berlaku dalam industri pembangunan sukan di Malaysia, kata Timbalan Ketua Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, perbuatan sedemikian perlu dihentikan dengan segera sekiranya ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya dalam mana-mana sukan di dalam negara.

Jelas beliau, kekerasan tidak menjamin prestasi cemerlang sebaliknya memberikan tekanan yang akhirnya memberikan kesan terhadap tahap mental atlet terbabit.

“Sukan adalah satu bidang yang sihat. Kita tidak boleh membiarkan budaya begini menular di dalam bidang sukan. Menjadi adat pertandingan ada kalah dan menang.

“Sebagai seorang jurulatih, beliau sepatutnya menerima apa sahaja keputusan dengan terbuka dan menjadikan ia sebagai satu panduan untuk melatih pasukan serta mengenal pasti kelemahan pasukan beliau.

“Jika seorang jurulatih tidak boleh mengawal emosi dan menjadi profesional terhadap anak didik, beliau tidak layak untuk menjadi jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan mengenai satu video tular memaparkan tindakan individu dipercayai jurulatih sebuah pasukan bola tampar yang menampar pemainnya ketika kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 pada 16 Disember lalu.

Dalam video yang disiarkan secara penstriman langsung di Facebook itu, jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemainnya yang menyebabkan pasukan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.

Artikel Berkaitan:

Young berharap agar tindakan tegas dikenakan ke atas jurulatih terbabit dalam insiden tersebut.

Katanya, jurulatih berkenaan tidak mempunyai hak untuk melakukan tindakan kasar itu lebih-lebih lagi pemain tersebut adalah seorang remaja perempuan bawah umur.