PM maklum projek rumah sakit, terbengkalai di Johor

Akmal Nasrullah menyampaikan sumbangan banjir kepada Kamis Sirat dalam program serahan bantuan bencana (banjir) di Balai Raya Jalan Hujung Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada Sabtu.
Akmal Nasrullah menyampaikan sumbangan banjir kepada Kamis Sirat dalam program serahan bantuan bencana (banjir) di Balai Raya Jalan Hujung Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu projek rumah terbengkalai dan tidak terjual di negeri ini dimaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasminya yang pertama sebagai Perdana Menteri ke Johor pada Jumaat.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, susulan itu satu perbincangan dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor akan diadakan di Putrajaya pada awal bulan depan.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, pertemuan tersebut membincangkan masalah tersebut secara lebih terperinci serta merangka kaedah terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Bagi saya, ini peluang untuk mengurangkan bebanan isu perumahan di negeri ini dengan menyelaraskan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program serahan bantuan bencana (banjir) di Balai Raya Jalan Hujung di sini pada Sabtu.

Akmal Nasrullah (lima dari kiri) bersama penerima bantuan banjir.
Akmal Nasrullah (lima dari kiri) bersama penerima bantuan banjir.

Pada awal bulan lalu, Mohd Jafni dilaporkan berkata, terdapat 17 projek perumahan dikategorikan 'sakit' dan tujuh projek terbengkalai dikenal pasti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Artikel Berkaitan:

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun depan melibatkan 625 unit di Taman Residensi di Kota Tinggi yang dimajukan pihak PR1MA.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, pihaknya turut sedia maklum dengan situasi lebih 6,000 unit rumah tidak terjual bernilai RM4.7 bilion yang direkodkan di negeri ini.

Katanya, masalah tersebut akan menjadi fokus utama pihak kementerian seperti yang diumumkan Menterinya, Nga Kor Ming untuk menyelesaikan masalah berkenaan di seluruh negara.