PPS ditutup, mangsa air pasang besar pindah ke pusat transit

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SANDAKAN - Seramai 655 mangsa daripada 114 keluarga yang rumah mereka roboh akibat fenomena air pasang besar di Kampung Forest di sini, dipindahkan ke pusat transit pada Sabtu selepas berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 sejak seminggu lepas.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Kapten Abdullah Sabaruddin berkata, daripada jumlah itu, 67 keluarga adalah warganegara dan dipindahkan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih di sini.

Beliau yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkata, bagi mangsa bukan warganegara pula dipindahkan ke Dewan PPR Taman Harmoni.

"Mesyuarat JPBD Sandakan semalam memutuskan bahawa PPS SK Sungai Anib 2 ditutup hari ini memandangkan sesi persekolahan akan bermula pada awal Januari.

"Keputusan JPBD adalah mangsa akan ditempatkan di dua lokasi PPR secara transit bermula hari ini hingga paling lewat pada 31 Januari depan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa proses pemindahan mangsa di PPS berkenaan di sini pada Sabtu.

Menurut Abdullah, dalam tempoh sebulan itu mangsa diberi masa untuk mencari kediaman tetap.

Beliau berkata, di PPR Batu Putih, setiap keluarga warganegara masing-masing ditempatkan di seunit rumah, manakala di Taman Harmoni setiap keluarga diberikan dua khemah yang disediakan oleh APM.

"Dari segi kebajikan, pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah hari ini akan menyerahkan di pusat transit PPR Batu Putih bahan (makanan) mentah dan peralatan dapur untuk mereka gunakan sepanjang tempoh transit tersebut, manakala bukan warganegara pula (di Taman Harmoni) kebajikan mereka diuruskan oleh pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdullah berkata, sebanyak 10 kenderaan daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah JPBD Sandakan terlibat dalam proses pemindahan tersebut.

Fenomena air pasang besar yang melanda pada malam 24 Disember lepas, mengakibatkan 110 rumah bertiang atas air di Kampung Forest roboh, namun tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama