Air pasang besar di Sabah, bantuan kerajaan menyusul

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua, Sandakan, Sabah yang terjejas apabila rumah mereka musnah akibat fenomena air laut pasang besar.

Justeru menurutnya, mangsa terlibat dinasihatkan bersabar dengan ujian yang menimpa.

"Dalam keadaan ramai yang sedang bercuti dan menyambut perayaan, sahabat kita di Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua dalam daerah Sandakan sedang berdepan ujian apabila fenomena air laut pasang besar telah merobohkan 100 buah rumah atas air akibat dipukul ombak.

"Lebih 200 mangsa dilaporkan terjejas. Takziah saya sampaikan kepada semua mangsa yang terlibat.

"Insya-ALLAH, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut sama membantu sedaya mungkin manakala bantuan lain dari Kerajaan juga akan menyusul," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam kejadian tengah malam Sabtu, lebih 100 rumah atas air roboh manakala sekurang-kurangnya 500 rumah terancam akibat hujan berterusan dan fenomena air pasang di kampung berkenaan.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, sebanyak 29 keluarga melibatkan 162 orang termasuk 53 kanak-kanak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2.

Artikel Berkaitan: