Perlu perluas peranan GIACC bukan mansuh

(Mahathir) Anwar sebelum ini dilapor berkata, kerajaan akan meneliti cadangan untuk membubarkan GIACC.
(Mahathir) Anwar sebelum ini dilapor berkata, kerajaan akan meneliti cadangan untuk membubarkan GIACC.
A
A
A

SHAH ALAM – Peranan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sepatutnya diperluas peranannya bukannya dimansuhkan atas alasan yang tidak rasional, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais.

Menurutnya, penubuhan GIACC banyak membantu kerajaan dalam menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

“GIACC ini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri, sepatutnya ia lebih mudah ditadbir dan diurus mengapa ia tidak diteruskan sedangkan kewujudannya bermanfaat untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerajaan akan meneliti cadangan untuk membubarkan Pusat GIACC selepas didapati berlaku pertindihan antara agensi penguat kuasa iaitu SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Mahathir, GIACC bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana dengan penuh integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

“Mereka yang menerajui GIACC adalah terdiri daripada mereka yang profesional, sepatutnya kerajaan yang wujud hari ini menyokong supaya lebih banyak lagi usaha bantu banteras rasuah dan salah guna kuasa.

“Selain itu ia juga dapat bertindak melindungi rakyat daripada pemimpin dan penguat kuasa korup yang boleh menyebabkan institusi masyarakat musnah dengan amalan rasuah,” katanya.

Tambah Mahathir, alasan mahu mengurangkan kos kerajaan dan pertindihan kuasa juga seolah-olah sengaja dicari bagi menghalalkan pemansuhan itu.

Artikel Berkaitan:

“Kajian mengenai GIACC mesti dilakukan dengan cara tidak berat sebelah dan perlu melibatkan pihak berkuasa yang sepatutnya.

“Jika keputusan itu nanti sekadar menyatakan bahawa GIACC terpaksa dimansuhkan kerana peranan badan itu yang kecil, ia satu kesilapan.

“Rakyat juga tahu bahawa GIACC mampu membawa perubahan besar terhadap kestabilan politik negara,” ujarnya.

Selain GIACC, Mahathir juga menyarankan agar Majlis Pemulihan Negara (MPN) dapat diteruskan.

“MPN telah memainkan peranan penting mengharungi keadaan kritikal ekonomi global akibat pandemik Covid-19.

“Sudah pasti peranan MPN amat besar dalam menyelaras semula ekonomi dan keselamatan makanan serta platform untuk kerajaan bersiap sedia menghadapi keadaan tidak dijangka,” kata Mahathir.

Jelasnya, sejak ditubuhkan, pakar-pakar tempatan, menteri-menteri terpilih, pegawai-pegawai kerajaan yang senior duduk bersama dalam MPN bagi membincangkan langkah mempercepat proses pemulihan ekonomi negara.