Resah hakisan tebing Sungai Pahang

Penduduk mendakwa hakisan tebing sungai semakin teruk selepas hujan lebat pada pertengahan bulan lalu.
Penduduk mendakwa hakisan tebing sungai semakin teruk selepas hujan lebat pada pertengahan bulan lalu.
A
A
A

PEKAN - Hampir 500 penduduk di Kampung Padang Rumbia di sini, resah dengan hakisan di tebing Sungai Pahang yang dilihat boleh menyebabkan keselamatan mereka terancam terutamanya ketika melalui jalan terbabit.

Tinjauan di perkampungan tersebut mendapati tebing sungai berkenaan semakin runtuh dan struktur jalan mengalami kerosakan sejauh dua kilometer akibat daripada hakisan sungai itu.

Keadaan jalan rosak boleh menyebabkan laluan berkenaan terputus pada bila-bila masa, jika berlaku hujan lebat dalam masa terdekat, namun kini jalan tersebut telah ditutup sebagai langkah keselamatan.

Penduduk di kampung itu, Wan Mohamad Wan Hussin, 70, memberitahu, hakisan tebing Sungai Pahang semakin serius setiap kali berlaku banjir di kawasan tersebut.

Menurutnya, situasi berkenaan dikatakan bertambah parah setelah berlakunya banjir besar pada 2014 dan episod hakisan akan terus berlalu apabila musim tengkujuh.

Laluan ditutup sementara akibat hakisan tebing Sungai Pahang.
Laluan ditutup sementara akibat hakisan tebing Sungai Pahang.

"Jalan ini sudah wujud sejak tahun 1970-an. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan tebing jalan di kampung ini semakin hari semakin terhakis dan kini ia telah meruntuhkan sebahagian jalan alternatif ini.

"Kita sebenarnya selesa dan selamat menggunakan jalan alternatif ini (jalan kampung) kerana laluan di jalan utama dilihat agak berbahaya dengan kenderaan yang selalu lalu lalang," luahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohamad berkata, hakisan tebing itu juga mendatangkan kebimbangan kepada 15 rumah penduduk berhampiran sungai terbabit.

"Mereka sebenarnya risau, jika tebing ini tidak dibaiki akan melarat sehingga menjejaskan rumah mereka. Jadi, saya berharap agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera sama ada membina benteng atau sebagainya.

"Cadangan ini bagi memastikan rumah penduduk yang berhampiran dengan Sungai Pahang berdepan dengan kerosakan mahu pun bahaya," jelasnya.

Jamidi Wahab, 63, yang menetap di kampung itu lebih 40 tahun berkata, hakisan sungai Pahang sudah mencecah laluan alternatif terbabit dan boleh membahayakan keselamatan penduduk terutamanya pelajar sekolah.

Bagaimanapun katanya, penutupan jalan alternatif berkenaan sedikit sebanyak menyusahkan penduduk setempat yang sering kali menggunakan laluan tersebut.

“Jalan ini menjadi pilihan pelajar yang berbasikal untuk ke sekolah kerana lebih selamat berbanding menggunakan laluan utama. Jika tidak dibaik pulih segera dibimbangi akan mengundang bahaya,” ujarnya.

Dia menambah, tidak hanya penduduk Kampung Padang Rambia, malah laluan terbabit turut dimanfaatkan penduduk Kampung Temai yang menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Padang Rumbia.

“Kalau boleh kita nak minta ihsan dari pihak berwajib untuk mendapatkan peruntukan bagi membaikpulih tebing sungai ini.

"Kami sebolehnya berharap laluan ini dapat dibaiki segera untuk kemudahan orang kampung,” jelasnya.

Hakisan tebing Sungai Pahang menyebabkan jalan alternatif di Kampung Padang Rumbia rosak.
Hakisan tebing Sungai Pahang menyebabkan jalan alternatif di Kampung Padang Rumbia rosak.

Senada dengan itu, Zulkifli hussin, 62, berkata, walaupun bukan laluan utama, ia adalah jalan penting menghubungkan beberapa kampung di sekitar kawasan ini.

Jelasnya, setakat ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku seperti terbabas ke dalam sungai.

"Kita berharap pihak berkaitan segera menyelesaikan masalah ini demi keselamatan penduduk,"ujarnya.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penutupan sementara jalan di kampung terbabit telah dilakukan selepas mendapat maklumat berhubung runtuh sebahagian jalan akibat hakisan berpunca arus deras Sungai Pahang.

"Tindakan susulan akan diambil setelah tamatnya musim tengkujuh nanti. Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran juga berusaha mengatasi masalah hakisan tebing di tepi Sungai Pahang bukan sahaja di Kampung Padang Rumbia malah di seluruh Pekan juga.

"Saya berharap, penduduk kampung berhati-hati dan ambil maklum berkenaan jalan-jalan kampung yang ditutup sementara ini," kata beliau.