‘Ini satu pertuduhan berat’

Keratan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.
Keratan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan menyatakan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menolak senarai ahli jawatankuasa masjid adalah satu pertuduhan berat.

Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang (Portfolio MMK Hal Ehwal Agama Islam), Syed Mikael Rizal Aidid berkata, sekiranya disemak rekod di Pejabat Agama Daerah seluruh negeri, tiada satu pun senarai pemilihan calon jawatankuasa kariah ditolak oleh MAINPP.

Jelas beliau, hanya enam daripada 197 masjid yang telah menjalani pemilihan dan bukannya sebanyak 12 masjid ditolak kesemua pencalonannya seperti didakwa.

Menurutnya, penolakan jawatankuasa bagi enam buah masjid itu hanya melibatkan jawatan pengerusi digugurkan dan ahli jawatankuasa (AJK) lain masih kekal diterima.

Katanya, enam buah masjid itu ialah Masjid Seberang Jaya, Masjid Sungai Tiram, Masjid Taman Bertam Indah, Masjid Bandar Tasek Mutiara dan Masjid Sungai Batu, manakala Masjid Sungai Rusa hanya Setiausaha digugurkan.

“Sebenarnya, penjelasan telah pun dibuat semasa sidang media oleh Yang Dipertua MAINPP pada 13 Disember lalu. Ini bersabit isu etika pentadbiran, pelanggaran prosedur (SOP) Covid-19, isu lebih had umur dan membawa elemen politik kebencian ke dalam masjid.

"Selain itu, menuduh MAINPP sebagai tidak demokratik adalah tidak tepat sama sekali. MAINPP boleh sahaja menggunakan situasi semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa Covid-19 dahulu sebagai pembatalan kaedah pemilihan secara langsung oleh anak kariah.

“Namun atas semangat demokrasi, Yang Dipertua MAIPP mahu pemilihan dibuat sendiri oleh anak kariah untuk menentukan siapa pimpinan yang mereka mahukan.

Artikel Berkaitan:

“Tuduhan yang dilemparkan kepada MAINPP adalah berat dan bersifat spekulasi liar kerana hanya penama tertentu dan dipilih sahaja yang layak memperhalusi senarai yang dibawa oleh setiap AGM kariah ke MAINPP, maka tiada campur tangan pihak luar," jelasnya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Zakaria Ismail, 65, pada Khamis yang mendakwa namanya diketepikan sebagai Pengerusi Masjid Sungai Batu untuk penggal 2023 hingga 2025.

Zakaria bagaimanapun berkata, dia tidak berasa kecewa dengan keputusan MAINPP menggugurkan namanya sebagai pengerusi, biarpun memenangi jawatan tersebut menerusi undian dan pilihan daripada ahli kariah dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan sebelum ini.

Sementara itu, anak-anak kariah Masjid Al-Mujahirin Seberang Jaya membantah tindakan MAINPP yang menggugurkan nama Pengerusi Kariah, Omar Hassan walaupun telah dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.

Menurut mereka, tindakan menggugurkan nama pengerusi kariah masjid itu serta beberapa masjid lain di negeri ini bermotifkan politik.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Bukhori Ghazali berkata, sehingga kini, MAINPP tidak pernah memanggil Omar dan memberi sebab munasabah mengapakan digugurkan daripada jawatan tersebut.

“Sedangkan beliau dipilih secara sah melalui mesyuarat yang diadakan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan aman pada Jumaat.