Polis tunggu laporan kandungan bahan letupan

Lokasi kejadian letupan satu bungkusan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang pada Khamis.
Lokasi kejadian letupan satu bungkusan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang menunggu laporan penuh forensik untuk mengenal pasti kandungan bahan letupan yang mengakibatkan seorang lelaki maut dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan mengenai perkara itu sedang dijalankan.

"Setakat ini tiada apa-apa makluman lagi mengenai kandungan letupan itu.

"Siasatan forensik telah dijalankan untuk mengenal pasti kandungannya (letupan)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Sasikala Devi berkata, motif kejadian juga sedang disiasat selain usaha mengesan suspek giat dilakukan.

Katanya, setakat ini suspek masih belum dikenal pasti.

Dalam kejadian pada Khamis, mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya selepas menerima aduan awam pada jam 8.50 malam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.

"Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan," ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kata Mohamad Farouk, polis turut menemui beberapa objek dipercayai bahan letupan yang digunakan berhampiran lokasi kejadian tetapi masih menyiasat perkara berkenaan.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Antara elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilihat berada di lokasi adalah Unit Forensik, Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan dikejarkan ke lokasi kejadian.