Kadar OPR dijangka naik dua kali lagi tahun depan

Bank Negara Malaysia mengumumkan empat kali kenaikan OPR pada tahun ini. - Foto: Bernama
Bank Negara Malaysia mengumumkan empat kali kenaikan OPR pada tahun ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) memberi jangkaan dua lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang berikutan tekanan inflasi dijangka kekal pada 2023.

Menurut Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, pertumbuhan inflasi teras yang kukuh pada November tahun ini mencerminkan keadaan permintaan domestik yang mantap pada bulan tersebut.

“Jangkaan ini merupakan tanda sokongan kitaran normalisasi kadar berterusan oleh BNM.

“Berdasarkan kenyataan pada bulan lalu, bank pusat memberikan amaran jelas bahawa tekanan inflasi berkemungkinan kekal pada 2023,” katanya menerusi satu nota penyelidikan pada Jumaat.

Nazmi berpandangan, campur kerajaan terhadap beberapa barangan kawalan termasuk harga ayam, petrol dan bayaran tol dapat terus membendung sebahagian inflasi dalam jangka masa terdekat.

Bagaimanapun jelasnya, kenaikan harga tarif elektrik untuk pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkuat kuasa pada 23 Januari depan dijangka mengakibatkan sedikit peningkatan ke atas kadar inflasi secara keseluruhannya.

"Pengiraan kami mendapati kemungkinan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 10 mata asas tahun ke tahun pada 23 Januari depan disebabkan sekitar 60 peratus pengguna elektrik di negara ini adalah pengguna bukan domestik dan daripada jumlah itu, 60 peratus adalah bukan PKS.

“Ia menambah bahawa pemberat elektrik dalam bakul IHP adalah pada 2.7 peratus, namun kesan pusingan kedua akan menjadi sedikit lebih besar," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran inflasi tahunan 2023 pada tiga peratus, sedikit lebih rendah berbanding IHP tahun ini pada 3.3 peratus.

Pada November 2022, IHP Malaysia meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya dan empat peratus daripada setahun lalu.

Sementara itu, inflasi teras meningkat 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya meningkatkan pertumbuhan tahun ke tahun kepada 4.2 peratus didorong oleh komponen makanan serta hotel dan restoran.