Suasana suram selubungi majlis memperingati mangsa tanah runtuh

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)) Mun Choong. -Foto Bernama
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)) Mun Choong. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suasana suram menyelubungi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Jumaat apabila keluarga, rakan, guru dan murid berkumpul untuk upacara memperingati mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Memetik laporan The Star, beberapa ibu bapa dilihat tiba di dewan sekolah bersama anak mereka sejam lebih awal untuk majlis memperingati tersebut yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi, dengan kedatangan mereka disambut oleh guru-guru di sekolah berkenaan.

Turut kelihatan mesej ucapan takziah dan ucapan menerusi kad telah digantung pada pokok hajat yang diletakkan di dewan sekolah.

Sebelum majis memperingati itu bermula, sesi bertafakur selama seminit bagi mengenang 11 mangsa yang mempunyai kaitan dengan sekolah berkenaan.

Antara yang maut ialah enam guru, tiga pelajar, seorang pengusaha kantin dan pekerjanya.

Sementara itu, guru besar SJKC Mun Choong, Cheong Kam Yin berkata, beliau berharap semua ahli keluarga dapat mengatasi kesedihan itu.

"Kami akan sentiasa mengingati anda semua," katanya.

Semua yang berada dalam dewan itu menitiskan air mata apabila video memberi penghormatan terakhir kepada mangsa ditayangkan.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali.

Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.