Kem Shan Shui untuk 8 RS akan dinaik taraf

Zamrose menyempurnakan acara pemakaian pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat Rejimen Sempadan sempena pengukuhan perjawatan BRS kepada BIS di Kem Lok Kawi, Putatan.
Zamrose menyempurnakan acara pemakaian pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat Rejimen Sempadan sempena pengukuhan perjawatan BRS kepada BIS di Kem Lok Kawi, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Tentera Darat akan menambah baik dan menaik taraf infrastruktur di Kem Shan Shui di Tawau yang kini didiami oleh Pasukan 8 Rejimen Sempadan (8 RS).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, mengambil kira kepentingan aspek kebajikan anggota Rejimen Sempadan di Sabah maka, Tentera Darat akan berusaha menambah baik Kem Shan Shui yang dulunya merupakan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

"Kem 8 RS akan dinaik taraf dan ditambah baik berdasarkan spesifikasi dan prosedur operasi standard (SOP) sebuah Batalion Infantri Standard (BIS) dalam penyediaan prasarana pentadbiran serta latihan yang kondusif kepada anggota secara berperingkat," katanya dalam sidang akhbar di Kem Lok Kawi, di sini, pada Jumaat.

Beliau sebelum itu, hadir bagi menyempurnakan pemakaian pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat Rejimen Sempadan sempena pengukuhan perjawatan Batalion Rejimen Sempadan (BRS) kepada BIS.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Tentera Darat telah membina banyak rumah keluarga di Sabah termasuk di Kem Lok Kawi, Kem Paradise di Kota Belud dan Kem Kabota di Tawau.

"Namun bagi pembinaan rumah keluarga untuk 8 RS masih dalam perancangan memandangkan kem ini masih lagi dalam status sewaan.

"Bagaimanapun, perancangan ini akan diteliti dengan segera demi menjaga kebajikan warga Rejimen Sempadan di Sabah. Saya percaya usaha ini akan memberi impak yang besar kepada warga Rejimen Sempadan serta mendorong mereka untuk terus komited mencapai misi dan visi Tentera Darat," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai majlis itu, Zamrose berkata, acara itu merupakan yang ketiga dan terakhir sebagai kesinambungan daripada upacara pengisyiharan perbarisan pengukuhan BRS sebagai BIS yang dilaksanakan di tiga lokasi berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Siri pertama pada 11 Ogos lalu di Markas Briges ke-30 Infantri Malaysia Kem Cowder, Kangar, Perlis dengan melibatkan 611 anggota lain-lain pangkat dan pasukan yang terlubat ialah 1 RS, 2 RS, 3 RS, 4 RS dan 5 RS.

"Siri kedua pada 27 Disember lalu di Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak dengan melibatkan seramai 201 anggota lain-lain pangkat dan pasukan yang terlubat ialah 6 RS, 7 RS, 9 RS dan 10 RS.

"Siri ketiga, hari ini di Markas Divisyen kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi, dengan melibatkan seramai 61 anggota lain-lain pangkat dari 8 RS," katanya.

Beliau berkata, rancangan penubuhan Markas Briged ke-32 Infantri Malaysia bersama unit sokongan di Kalabakan akan diteruskan melalui pelan pembangunan keupayaan Army 4EXTG dengan meletakkan Batalion ke-8 Rejimen Sempadan di bawah perintahnya.

"Pada ketika ini, Batalion ke-8 Rejimen Sempadan diletakkan di bawah pemerintahan Markas Briged ke-13 Infantri Malaysia bersama dengan Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja," katanya.