City kini layak digelar pasukan terbaik Eropah

GUARDIOLA
GUARDIOLA
A
A
A

PEP Guardiola percaya Manchester City layak berada dalam kelompok pasukan terbaik dunia selepas selepas akhirnya memenangi trofi Liga Juara-Juara.

City melengkapkan treble pada malam gemilang di Istanbul selepas menewaskan Inter Milan 1-0 menerusi jaringan Rodri pada minit ke-68.

City telah mendominasi persada domestik di bawah kendalian Guardiola dengan memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh enam tahun serta dua Piala FA dan empat Piala Liga Inggeris.

Namun, satu-satunya trofi yang belum dimenangi mereka ialah Liga Juara-juara dan mereka memecahkan badi itu dengan kemenangan di Stadium Olimpik Ataturk pada awal pagi Ahad.

"Anda perlu menang di Eropah untuk dianggap pasukan yang hebat dan kami berjaya melakukannya.

"Saya tidak mahu pasukan jatuh selepas menang Liga Juara-Juara. Kami perlu bekerja keras musim depan dan berada di final lagi.

"Ada pasukan yang memenangi Liga Juara-Juara dan kemudiannya jatuh. Kami kena elakkan perkara itu.

"Ia satu kelegaan untuk memiliki trofi ini," katanya.

Dalam pada itu, Guardiola memberi penghormatan kepada Inter kerana saingan luar biasa di final dan kepada pengurusan City kerana mengekalkan kepercayaan kepadanya untuk mengemudi pasukan.

"Untuk Inter, saya harus mengucapkan tahniah kepada mereka atas prestasi mereka. Saya tahu apa yang mereka rasa kerana kami merasakannya dua tahun lalu.

"Tiada perkataan yang boleh menangani kesakitan tetapi mereka adalah pasukan kedua terbaik di Eropah dan itu luar biasa.

"Kedua adalah untuk pengarah sukan, CEO dan pengerusi saya. Biasanya apabila anda tidak memenangi Liga Juara-Juara selepas bertahun-tahun anda dipecat. Berapa banyak kelab yang memusnahkan projek itu?

"Sekarang adalah masa untuk meraikan. Saya tidak sabar untuk hari Isnin di Manchester meraikannya dengan tiga trofi.”

City menjadi pasukan Inggeris kedua selepas Manchester United kendalian Sir Alex Ferguson pada 1999 memenangi treble Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada musim yang sama.