Terima kasih Rozaid Rahman

Rozaid (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama warga Kumpulan Karangkraf sempena Majlis Penghargaan Jasa dan Khidmat di Shah Alam pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rozaid (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama warga Kumpulan Karangkraf sempena Majlis Penghargaan Jasa dan Khidmat di Shah Alam pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas dua tahun menabur khidmat di Sinar Harian, Rozaid Rahman menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan di syarikat media itu pada Jumaat.

Memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021, Rozaid, 57, mengakui perjalanan kariernya di situ tidak mudah kerana perlu berhadapan dengan cabaran untuk menerbitkan surat khabar sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

Rozaid ketika berucap sempena Majlis Penghargaan Jasa dan Khidmat di Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rozaid ketika berucap sempena Majlis Penghargaan Jasa dan Khidmat di Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Jelas Rozaid, atas faktor kesihatan, beliau terpaksa mengambil keputusan sukar untuk tidak meneruskan kontraknya.

“Saya tandatangan kontrak dua tambah dua (empat tahun) tetapi pada September lalu, saya menjalani pembedahan slip disc di leher. Sepanjang tempoh bekerja selama hampir 40 tahun, saya tidak pernah ambil cuti sakit apatah lagi masuk hospital.

“Atas faktor kesihatan, saya terpaksa melepaskan tanggungjawab ini meskipun saya masih belum selesai lagi misi di sini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penghargaan Jasa dan Khidmat di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Luah beliau, berbeza dengan syarikat media lain, budaya kerja di Sinar Harian yang berkonsepkan kekeluargaan merupakan antara faktor menjadikan tempat kerja ini lebih bermakna.

“Sepanjang karier selama hampir 40 tahun, di sinilah saya rasa kepuasan yang maksimum dalam kerjaya. Saya tidak pernah bekerja di satu tempat yang mana hubungan kita macam adik-beradik. Itulah budaya kita di sini.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun saya agak garang tetapi semua staf boleh menerima teguran kerana saya menegur bertujuan menambah baik kualiti kerja untuk masa depan syarikat yang lebih cerah,” jelasnya.

Rozaid turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Grup Sinar Karangkraf atas kepercayaan yang diberi untuk memimpin akhbar bahasa Melayu nombor satu di Malaysia itu.

“Sinar Harian yang memberi peluang dan tempat untuk saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan. Di kalangan rakan-rakan yang masuk dalam industri ini pada tahun 1984, saya merupakan yang terakhir menjawat jawatan ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan kepimpinan di Sinar Harian kerana memberi kepercayaan yang besar kepada saya,” ujarnya.

Di bawah kepimpinan Rozaid juga, beliau turut memperkenalkan Sinar Daily iaitu portal berita bahasa Inggeris Kumpulan Karangkraf yang akan menyambut ulang tahun pertamanya pada 1 Januari ini.

Sementara itu, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa Rozaid sepanjang dua tahun perkhidmatan.

Hussamuddin.- Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hussamuddin.- Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Apatah lagi katanya, Rozaid mula bertugas dalam situasi yang mencabar iaitu ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Satu benda yang saya amat kagum dengan pasukan Sinar Harian ialah akhbar ini masih boleh diterbitkan semasa 100 peratus staf bekerja dari rumah. Ini tidak pernah terjadi di mana-mana media termasuk media besar yang masih mengekalkan staf di pejabat.

“Untuk menyusun satu surat khabar dengan pelbagai jenis berita yang perlu disunting secara dalam talian, bagi saya ini usaha mengagumkan yang tidak terjangkau di fikiran.

“Saya memang kagum. Terima kasih dua tahun sumbangan anda dan dalam masa ini kita telah menempatkan Sinar Harian pada satu tahap yang luar biasa,” jelas beliau.