Bajet 2023 ambil kira manifesto semua parti

Ahmad Maslan berucap sempena lawatan kerja beliau di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Khamis. - Foto Bernama
Ahmad Maslan berucap sempena lawatan kerja beliau di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

CHUKAI - Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari depan akan mengambil kira manifesto semua parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, urus setia khas bajet baharu telah ditubuhkan bagi meneliti dan mengkaji manifesto parti yang positif untuk dimasukkan dalam bajet berkenaan.

Selain itu beliau berkata, beberapa penambahbaikan juga akan dipertimbangkan dalam Bajet 2023 itu bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan agenda rakyat.

"Ada pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan yang membentuk dua pertiga majoriti. Setiap parti ada manifesto-manifesto yang baik untuk dilaksanakan.

"Urus setia khas yang meneliti manifesto parti dalam Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan untuk teliti perkara-perkara ini," katanya ketika sidang akhbar sempena lawatan kerja di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kemaman di sini pada Khamis.

Selain itu, Ahmad berkata, kerajaan juga tiada halangan untuk meneruskan perkara positif yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2023 sebelum ini.

Beliau berkata, sebagai contoh pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM150 kepada setiap pelajar tanpa mengira pendapatan keluarga yang akan mula diagihkan pada 12 Januari depan.

"Hal-hal bajet akan dibincangkan pada mesyuarat kementerian (Kementerian Kewangan) pada mesyuarat 3 Januari depan.

Artikel Berkaitan:

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskan tema bajet dan kandungannya," katanya.

Sebelum ini, Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober lepas. - Bernama