Geng Perpaduan bukti Kerajaan Perpaduan makin kuat

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA - Penubuhan Geng Perpaduan yang disertai sayap-sayap pemuda parti dalam kerajaan membuktikan hubungan pemuda dari pelbagai parti itu semakin kukuh dan lebih bersefahaman.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Geng Perpaduan yang akan dilancarkan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad ini sekali gus menjadi medium kerjasama untuk merangka persiapan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Menurutnya, ia bukan hanya membabitkan Pemuda UMNO dan pemuda dalam komponen Barisan Nasional (BN), malah membabitkan PH, part Warisan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain parti Muda.

Katanya, sebelum ini juga telah beberapa kali diadakan jawatankuasa mesyuarat ke arah kewujudan Geng Perpaduan dan respons dalam kalangan pemuda bertambah baik dengan akan merealisasikan #BinaBersama.

"Ini membuktikan bahawa bila ada cakap-cakap parti Kerajaan Perpaduan ini goyah, maka ia boleh dibuktikan dengan kerjasama erat pemuda-pemuda dalam parti Kerajaan Perpaduan.

"Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia sahkan kami tiada masalah untuk bekerjasama malah semuanya persefahaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Negeri Melaka, di Jalan Hang Tuah di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, sayap pemuda Kerajaan Perpaduan juga dalam keadaan siapa siaga termasuk jentera bagi menghadapi PRN.

"Kita akan laksanakan dan lepas ni gerak kerja pemuda di setiap enam negeri ini akan gunakan Geng Perpaduan.

"Kolaborasi ini kita alu-alukan semua parti demi masa depan Malaysia," katanya lagi.