Belanjawan 2023: Belanjawan mujarab, tiada naratif perkauman

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2023 yang diumumkan Kerajaan Perpaduan merupakan belanjawan mujarab bagi keadaan ekonomi semasa kerana tidak dibentuk atas naratif perkauman, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.

Menurut beliau, ia mengangkat keperluan semua rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40.

Bagaimanapun katanya, sebagai populasi terbesar Malaysia, kaum Melayu sudah pasti menjadi penerima manfaat paling banyak melalui Belanjawan 2023.

"Belanjawan ini membuktikan Kerajaan Perpaduan cukup cakna rakyat dengan meletakkan keperluan mengatasi masalah perut rakyat sebagai keutamaan.

"Semoga dengan Belanjawan 2023, Malaysia lebih bersedia menghadapi tekanan makroekonomi global," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berupaya mengurangkan defisit negara.

"Pada masa yang sama, memperuntukkan perbelanjaan pembangunan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM99 bilion. Belanjawan 2023 juga dilihat cakna kepada keperluan sektor pertanian yang masih berada bawah paras pra-pandemik.

"Anwar turut menegaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenal semula cukai GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Ini menunjukkan kerajaan mahu terus membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi," ujarnya.

Selain itu, Faiz memberitahu, beberapa inisiatif lain antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga mencecah RM2,500, kadar cukai pendapatan M40 dikurangkan dua peratus dan meliputi lebih banyak individu, serta kadar cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut diturunkan kepada 15 peratus untuk RM150,000 yang pertama akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan menangguhkan cadangan Kulim International Airport.

"Ini selaras dengan kenyataan saya sebelum ini, projek Kulim International Airport dibimbangi menjadi projek gajah putih jika dijalankan sekarang," jelasnya.