Longgokan besi di halaman rumah ganggu jiran

Letak longgokan besi di hadapan rumah, timbulkan kacau ganggu penduduk.
Letak longgokan besi di hadapan rumah, timbulkan kacau ganggu penduduk.
A
A
A
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan amaran lisan terhadap seorang pemilik kediaman yang didapati menyebabkan kacau ganggu selepas meletakkan longgokan besi di halaman rumah.

MPK dalam satu kenyataan berkata, tempoh 14 hari diberikan kepada pelaku untuk membersihkan serta mengalihkan besi berkenaan bagi menyelesaikan permasalahan itu.

Menurut kenyataan itu, perlakuan tersebut adalah salah satu contoh sikap tidak prihatin terhadap kawasan kejiranan.

"Kacau ganggu ini boleh mendatangkan bahaya kepada kejiranan kerana akan mengundang kepada pembiakan nyamuk, haiwan perosak dan berbisa seperti tikus dan ular.

"Sikap prihatin sangat penting bagi melahirkan hubungan kejiranan yang baik dan berkualiti serta membolehkan penghuni serta komuniti setempat menjalankan kehidupan yang baik dan sempurna," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Kata kenyataan itu, sebanyak 180 aduan diterima antara Januari hingga November lalu yang mana 90 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Jelas kenyataan itu, antara masalah kejiranan yang diterima adalah seperti meletakkan halangan pasu bunga, memarkir kenderaan di depan rumah, menjemur baju serta kasut di tembok.

"Ada juga yang bermain alat muzik, membuat bising selain gangguan bau masakan serta asap rokok yang menimbulkan ketidakselesaan jiran.

"Walaupun aduan tersebut dianggap remeh tetapi kita hidup berjiran, pastikan kediaman terjaga, bersih, mesra dan sentiasa prihatin," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: