Lima pasukan cef muda menang MSSCC 2022

Senarai pemenang pertandingan MSSCC 2022.
Senarai pemenang pertandingan MSSCC 2022.
A
A
A

SHAH ALAM – Maggi melalui Siri ke-26 Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi 2022 (MSSCC 2022) yang dianjurkan baru-baru ini menyaksikan lima pasukan cef muda muncul sebagai pemenang kebangsaan dan dipilih daripada lebih 2,000 peserta.

Johan pertandingan itu ialah Camelia Ivana dan Irdina Sofiya dari Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan manakala naib johan ialah Nabihah Auni dan Nur Ain Syazwani dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kuantan, Pahang.

Tempat ketiga dimenangi oleh Alya Qaseh dan Qurratul Ain dari SMK Pengerang Utama, Johor, Vanessa Grace, tempat keempat ialah Valentina Ulau dari SMK Bandar Sibu, Sarawak manakala tempat kelima ialah Aleya Alesya dan Damia Batrisyia dari SMJK Notre Dame Convent, Melaka.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, sejak lebih dua dekad lalu, Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi telah mendapat sokongan dan penyertaan pelajar yang sangat memberangsangkan.

“Ramai mula sedar akan kepentingan memupuk bakat dalam masakan dan menimba ilmu pengurusan diet sihat dari awal. Memasak merupakan kemahiran hidup yang penting buat generasi muda.

“Mereka akan mempelajari antara lainnya mengenai proses perancangan, kemahiran pengurusan masa yang berkesan dan kemahiran menyusun atur.

“Dengan usaha bersepadu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia, pertandingan ini bertujuan mewujudkan masyarakat yang saksama di mana kami menggalakkan remaja lelaki dan perempuan mengembangkan minat dan bakat mereka dalam memasak,” katanya dalam satu kenyataan.

Geetha berkata, pertandingan itu turut membuka peluang yang lebih besar untuk bakat muda ini yang mungkin satu hari nanti akan berkecimpung dalam arena masakan Malaysia sebagai kerjaya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bertemakan Anda & Maggi®, “Sajian Seimbang Tanda Sayang”, pertandingan tahun ini telah menyaksikan penyertaan lebih 2,000 orang pelajar beraspirasi tinggi, berusia antara 13 hingga 15 tahun dari 547 sekolah di seluruh negara.

“Mereka mempamerkan bakat memasak masing-masing dan menunjukkan pilihan pemakanan yang seimbang berkonsepkan ‘Pinggan Sihat Malaysia’ atau ‘Suku-Suku Separuh’ ke arah membina tabiat pemakanan yang lebih sihat.

“Melalui video yang dihantar, pemenang dipilih berdasarkan beberapa siri penilaian antaranya penggunaan bahan-bahan kreatif, kemahiran memasak, persembahan dan inspirasi masakan,” kata Geetha.

Beliau berkata, pertandingan pada tahun ini turut memberi pendedahan mengenai pemakanan berasaskan tumbuhan yang telah menjana minat dan penerimaan yang tinggi dalam kalangan orang ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, atas kesannya yang baik terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri.

“Sepanjang pertandingan, bimbingan daripada pelbagai profesional dan pakar masakan juga telah diberikan kepada para peserta melalui beberapa modul pembelajaran.

“Cef Maggi berkongsi petua pemakanan yang sihat dan seimbang, serta pengetahuan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan manakala pakar pemakanan Maggi mengetuai sesi penyediaan makanan yang seimbang dan berkhasiat,” katanya.