Lelaki mabuk pandu kereta lawan arus punca kemalangan

Keadaan kenderaan terlibat kemalangan di jejambat berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong pada Rabu.
Keadaan kenderaan terlibat kemalangan di jejambat berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki disyaki mabuk dan memandu secara melawan arus menyebabkan kenderaan dipandunya itu merempuh sebuah kereta dalam kejadian di jejambat berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 5.09 pagi.

"Siasatan mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang lelaki berumur 27 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol bersama rakannya.

"Suspek dipercayai memandu secara melawan arus kemudiannya melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berumur lingkungan 20-an," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kejadian mengakibatkan pemandu Proton Saga dan penumpang Honda Civic mengalami kecederaan ringan.

"Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

"Suspek yang merupakan pemandu Honda Civic kemudiannya diberkas bagi siasatan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya Sarjan Juwita Selamat di talian 019-2841667," katanya.