Mekanisme subsidi bersasar rujuk pangkalan data komprehensif

Salahuddin (dua kiri) menyaksikan Majlis Penukaran Dokumen Persefahaman antara Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan ACQM di sebuah hotel di Johor Bahru, pada malam Selasa.
Salahuddin (dua kiri) menyaksikan Majlis Penukaran Dokumen Persefahaman antara Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan ACQM di sebuah hotel di Johor Bahru, pada malam Selasa.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Kenterian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif sebelum memutuskan mekanisme pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, antaranya membabitkan data daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia dan Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelasanya, kerajaan tidak akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada kuasa kuda (CC) kenderaan untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

"Data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

"Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.



"Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia Khazanah Nasional selain kajian-kajian yang dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk," katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis temu rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sebuah hotel di sini, pada malam Selasa.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pulai itu dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.
Artikel Berkaitan:


Salahuddin berkata, pangkalan data JPJ digunakan untuk subsidi petrol RON95 kerana kerajaan boleh kenal pasti CC kenderaan golongan sasaran untuk subsidi petrol berkenaan.

Pada Selasa, rata-rata pengguna dilaporkan tidak bersetuju dengan mekanisme kerajaan untuk memberi subsidi bersasar minyak RON95 berdasarkan kepada CC kenderaan.

Menurut mereka, ini kerana CC kenderaan tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi pengguna, lebih-lebih lagi banyak kenderaan mewah kini tampil dengan CC lebih kecil seperti jenama Mercedes dan Honda.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid pula berkata, pada masa kini kebanyakan kenderaan mewah turut menggunakan CC rendah sekali gus mekanisme hanya merujuk data JPJ untuk subsidi bersasar petrol RON95 tidak sesuai.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, sehubungan itu pihaknya perlu melihat semua data berkenaan dan bukan data JPJ sahaja diperlukan.

"Memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadau dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

"Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan CC kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95," ujar beliau lagi.

Menurutnya, kerajaan perlu menghimpunkan semua data daripada semua agensi berkaitan sekali gus mewujudkan pangkalan data lebih bersepadu bagi pelaksanaan pemberian subsidi bersasar supaya dapat mencapai sasaran sekali gus menjangkau golongan disasarkan.

Tambahnya, KPDN dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneliti dan melihat semua data itu sebelum kerajaan membuat keputusan akhir berkenaan perkara itu.

habis