Penggunaan ubat PrEP untuk cegah HIV bukan langkah tepat

Rafidah Hanim
Rafidah Hanim
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) sebagai inisiatif pencegahan penularan HIV semasa melakukan hubungan seks bukan satu langkah yang tepat.

Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, ia berisiko membawa kepada jangkitan lain yang berpunca daripada hubungan tersebut.

Ujarnya, individu yang mengambil ubat berkenaan masih perlu mendapatkan nasihat dan kawalan daripada pakar perubatan.

Satu kajian yang dilakukan di Australia melibatkan 3,000 responden menyatakan antara kesan penggunaan ubat PrEP adalah ia memberikan satu risiko yang mana mereka rasa tidak perlu untuk memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

“Ia akhirnya menyebabkan penyebaran penyakit lain berpunca daripada seks seperti gonorrhea dan penyakit kelamin (STI).

“Ubat PrEP pula pada masa sama memerlukan kawalan terhadap penggunaannya,” kata beliau dalam program Wacana Sinar bertajuk PrEP: Tanggungjawab, pencegahan penyakit HIV yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.

Turut bergandingan sebagai panelis ialah Ketua Sektor HIV/ Bahagian Kawalan (Penyakit) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Anita Suleiman dan Setiausaha Akademi Fiqh Islam Malaysia (AFHAM), Profesor Dr Irwan Mohd Subri.

Ketika program tersebut, timbul sedikit perbezaan pandangan antara Rafidah dengan Adeeba yang mana beliau berpandangan, ubat tersebut tidak seharusnya diberikan kepada pelaku homoseksual.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Adeeba menyatakan, tidak seharusnya berlaku diskriminasi dalam pemberian ubat tersebut terhadap golongan berkenaan.

Sementara itu, Rafidah menambah, beliau tidak yakin bahawa penggunaan ubat PrEP merupakan solusi terbaik dalam membendung penularan HIV.

Jelasnya, meskipun jangkitan penyakit tersebut berkemungkinan berkurangan, namun jangkaan masalah kesihatan lain masih boleh terjadi.

“Mungkin selesai satu masalah, tapi masalah lain pula yang datang,” ulas beliau.