MAIS agih bantuan kepada 1,199 keluarga orang asli

Majlis simbolik penyerahan replika cek disampaikan Nurhani Salwa (dua dari kanan) kepada Abdul Hadi (empat dari kiri).
Majlis simbolik penyerahan replika cek disampaikan Nurhani Salwa (dua dari kanan) kepada Abdul Hadi (empat dari kiri).
A
A
A

GOMBAK - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan bantuan kotak makanan kering melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM218,880 kepada 1,199 keluarga orang asli di sini pada Selasa.

Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor, Nurhani Salwa Jamaluddin berkata, penerima sumbangan terdiri daripada masyarakat orang asli beragama Islam dan bukan Islam di sekitar Selangor.

"Daripada jumlah keseluruhan RM218,880, sebanyak RM150,000 diagihkan kepada 625 keluarga orang asli Islam dengan menggunakan sumber peruntukan wang fidyah MAIS.

"Sementara sebanyak RM68,880 lagi diagihkan kepada 574 keluarga orang asli bukan Islam dengan menggunakan sumber peruntukan baitulmal MAIS," menurut Nurhani Salwa dalam kenyataan pada Selasa.

Majlis simbolik penyerahan replika cek disampaikan Nurhani Salwa kepada Penolong Pengarah Kanan Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Abdul Hadi Abdullah.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail.

Dalam pada itu, Nurhani Salwa turut memaklumkan sumbangan juga bertujuan sebagai usaha dakwah MAIS dalam membantu masyarakat orang asli berpendapatan di bawah kategori B40 di beberapa daerah di negeri ini dalam usaha membantu meringankan beban mereka.

"Setiap keluarga orang asli menerima bantuan kotak makanan kering seperti beras, susu, gula, tepung dan minyak masak bernilai RM120.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan yang dilaksanakan dengan kerjasama RSFM yang terdiri daripada JAIS, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah terlibat," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, setakat ini, MAIS telah mengagihkan wang fidyah sebanyak RM3.3 juta dengan jumlah penerima sumbangan seramai 20,931 keluarga yang layak.

"MAIS berharap sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh setiap keluarga orang asli dalam meringankan kos perbelanjaan seharian.

"Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.," katanya.