[VIDEO] Dua kakitangan SUK Pahang ditahan

Ramli (dua dari kanan) menunjukkan pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dirampas oleh pihak polis dalam sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Selasa.
Ramli (dua dari kanan) menunjukkan pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dirampas oleh pihak polis dalam sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Dua kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang ditahan kerana menyalahgunakan nombor pengenalan pekerjaan bagi memasukkan senarai nama individu yang ditawarkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri tidak sah ke dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek pertama berusia 36 tahun bekerja sebagai pembantu operasi manakala suspek kedua pula berumur 30 tahun adalah pembantu tadbir secara kontrak di Pejabat SUK Pahang.

Menurutnya, penahanan kedua-dua suspek dilakukan selepas salah seorang daripada kakitangan SUK membuat laporan susulan curiga dengan senarai nama yang diperoleh.

"Sebelum itu, pengadu menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangan bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, bertanya berkaitan nama seorang individu yang hendak memasukkan namanya dalam sistem rekod pingat dan darjah kebesaran Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 12 Oktober lalu.

"Semakan dibuat mendapati nama lelaki tersebut ada dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang, namun apabila semakan dibuat di dalam senarai induk di pejabat Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi Pejabat SUK, mendapati nama individu itu tiada,” katanya.

Ramli
Ramli

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pada Selasa.

Ramli menjelaskan, semakan secara terperinci dilakukan semula dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat mengenai kemasukan data individu yang tidak sah dan tidak sepatutnya berada dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hasil semakan mendapati terdapat 29 nama individu dan butiran peribadi individu telah dimasukkan ke dalam sistem tersebut bagi tujuan menerima darjah kebesaran negeri Pahang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan telah dijalankan. Kes pada peringkat awal diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 sekali gus membawa kepada tangkapan dua kakitangan kerajaan negeri terbabit,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek telah menyalahgunakan nombor pengenalan mereka yang dibekalkan untuk akses ke dalam laman sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

Katanya, mereka juga telah membuat pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan laman sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

“Siasatan mendapati bahawa suspek pertama telah memasukkan nama 26 individu yang tidak sepatutnya dan tidak disenaraikan sebagai individu yang akan menerima apa-apa jenis anugerah daripada Sultan Pahang dan suspek kedua telah memasukkan nama tiga individu bagi tujuan sama,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Ramli memberitahu, kesemua 29 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun yang disenaraikan secara tidak sah itu juga telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan arahan telah diterima adalah untuk menuduh kedua subjek di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta yang sama,” katanya.

Menjawab mengenai bayaran yang diterima bagi mendapatkan gelaran tertentu, Ramli memaklumkan, pihak polis mendapati penerima tawaran gelaran Datuk dan Datuk Seri itu berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, individu tersebut membayar sekitar RM80,000 sehingga RM150,000 untuk mendapatkan gelaran terbabit.

Justeru, beliau mengingatkan kepada orang ramai terutama mereka yang ditawarkan sesuatu gelaran untuk mengikut prosedur yang telah ditetapkan

“Terima kasih kepada pengadu kerana telah bertindak sewajarnya. Penerimaan gelaran ini tidak mudah dan semuanya bersistem serta diperhalusi. Tiada pengaturan sedemikian oleh mana-mana pihak sama ada daripada kerajaan negeri mahupun istana,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kepada mana-mana pihak agar tidak menggunakan lambang yang tidak diwartakan bagi menunjukkan pingat yang diterima.

Tegasnya, ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 31 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963.

"Kesalahan ini boleh membawa kepada hukuman di bawah Seksyen 5 akta sama, denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.