Arul sudah ada bayangan pemain

Senarai akhir pemain yang akan menggalas cabaran skuad negara di Piala Dunia akan diumumkan sebelum 30 Disember ini.
Senarai akhir pemain yang akan menggalas cabaran skuad negara di Piala Dunia akan diumumkan sebelum 30 Disember ini.
A
A
A

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj sudah mempunyai bayangan 20 pemain yang akan membawa cabaran negara dalam saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, 14 Januari depan.

Menurut Arul, beliau akan berbincang dengan barisan kejurulatihan sebelum membuat keputusan muktamad senarai akhir 20 pemain tersebut.

"Setakat ini, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memberikan mandat kepada kita sehingga 30 Disember. Jadi, kita akan muktamadkan senarai 20 pemain itu sebelum tarikh tersebut.

"Saya sudah ada gambaran 20 pemain yang akan pergi dan akan berbincang dengan barisan kejurulatihan sebelum buat keputusan," katanya dalam satu video di laman Facebook rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Malaysian Tigers yang menduduki ranking ke-11 dunia dijangka berlepas ke India pada 6 Januari depan dan akan berdepan Sepanyol dalam aksi pemanas badan pada 11 Januari.

Skuad negara kemudiannya akan menghadapi dua aksi Kumpulan C, Piala Dunia di Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.

Dalam pada itu, Arul turut menjelaskan tempoh dua minggu latihan yang telah berlangsung sebelum ini banyak menekankan kepada taktikal untuk menghadapi ketiga-tiga pasukan tersebut.

"Semangat pemain semasa latihan sangat baik apabila kita buat latihan serangan dan pertahanan. Pemain sedaya upaya cuba memenangi bola dan menunjukkan segalanya dalam sesi latihan.

Artikel Berkaitan:

"Ia sangat penting untuk naikkan stamina dan semangat pemain sebelum bermula kejohanan. Saya gembira dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain dalam sesi latihan," katanya.

Arul turut menegaskan mempunyai tempoh persiapan yang cukup bagi mengharungi aksi mencabar di Piala Dunia walaupun sebelum ini terkesan dengan masalah kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama.

"Kita perlu bermula langkah kanan bertemu Belanda untuk mencerahkan peluang melayakkan diri ke pusingan kedua," katanya.