Anak nelayan rangkul anugerah pelatih terbaik Kor Suksis UKM

Muhammad Azhar (tengah) selepas menerima anugerah pelatih terbaik Kor Suksis UKM 2022.
Muhammad Azhar (tengah) selepas menerima anugerah pelatih terbaik Kor Suksis UKM 2022.
A
A
A

BANGI - Biarpun lahir dalam keluarga susah, namun itu bukan penghalang kepada Muhammad Azhar Mohamad Roslee untuk mencapai kejayaan sekali gus merangkul anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan, Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Suksis) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Selasa.

Muhammad Azhar yang merupakan anak kepada seorang nelayan bercita-cita untuk menyarung pakaian seragam Sang Saka Biru sebagai seorang pegawai polis dan menabur bakti kepada negara.

Anak bongsu daripada enam beradik ini bukan sahaja cemerlang dalam aktiviti kokurikulum malah berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang keusahawanan dan inovasi dengan ijazah kelas pertama.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang banyak membantu saya mencapai anugerah ini. Banyak yang saya pelajari sepanjang saya berada di sini.

Muhammad Azhar
Muhammad Azhar



"Walaupun ianya satu cabaran, namun Kor Suksis banyak membantu dalam mendidik saya supaya berdisiplin menguruskan masa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Suksis UKM di UKM di sini pada Selasa.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan, Komuniti Bukit Aman, Asisten Komisioner Dr Parasuraman Subramaniam.

Dalam ucapannya, Arjunaidi mengucapkan tahniah dan bangga kepada 67 pelatih Skuad 15/2019-2022 Kor Suksis UKM yang menerima sijil pelantikan sebagai Sukarelawan Polis Siswa/Siswi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pegawai Kor Suksis dilatih mengikut silibus yang telah disenaraikan di semua universiti awam melibatkan latihan selama tiga tahun membabitkan modul-modul yang perlu dilalui selama 672 jam secara keseluruhannya.

Katanya, mahasiswa berkenaan merupakan harapan masa depan yang akan menjadi pemimpin yang berwibawa bagi memimpin negara ke arah kemajuan.

"Saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian supaya menjauhkan diri daripada sebarang bentuk gejala sosial dan pelanggaran undang-undang negara.

"Sebagai ahli Kor Suksi, anda seharusnya menjadi contoh ikutan dan pemangkin kepada masyarakat agar sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi yang berjaya dan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan," ujar beliau.