Balu lega terima bantuan Perkeso ringankan beban keluarga

John Riba (dua dari kiri) menyerahkan bantuan Perkeso kepada Salina sambil disaksikan anak-anaknya di rumah mereka di Kota Warisan pada Khamis.
John Riba (dua dari kiri) menyerahkan bantuan Perkeso kepada Salina sambil disaksikan anak-anaknya di rumah mereka di Kota Warisan pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - “Alhamdulillah, saya bersyukur sangat, dengan bantuan ini dapatlah meringankan sedikit beban keluarga kami,” kata Salina Mat Ali, 48.

Salina merupakan seorang balu yang menerima bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM1,395 sebulan termasuk untuk anak-anaknya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) selepas kematian suami.

Bantuan itu diperoleh selepas suaminya, Allahyarham Ramlidin Ahkemat, 50, meninggal dunia kerana disengat tebuan semasa melakukan kerja harian dalam sebuah kebun di sini pada 9 Disember lalu.

Mengakui terharu dengan bantuan yang diterima itu, Salina sama sekali tidak menyangka bahawa Allahyarham ada membuat caruman di bawah skim berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak menyangka yang dia (Allahyarham) ada membuat caruman sebelum pergi meninggalkan kami, baru sekarang saya tahu.

“Arwah suami ada menanam pelbagai tanaman seperti pisang, keledek, ubi kayu, kunyit dan kelapa di kebunnya.

“Kebun itu akan terus diusahakan lagi memandangkan boleh jadi pendapatan untuk kami sekeluarga,” kata Salina ketika ditemui media selepas penyampaian bantuan oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di kediamannya di Kota Warisan, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Penyampaian bantuan itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin yang menziarahi Salina dan tiga anak iaitu Muhammad Adam Rifqy, 14, Muhammad Aakif Rusyda, 12 dan Nur Arissa Rihana, 10.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim dan Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Chendren Balakrishnan.

Selain menerima bantuan bulanan itu, Perkeso turut memberikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 kepada keluarga berkenaan.

Salina dalam masa sama turut menyarankan kepada individu bekerja sendiri supaya membuat caruman dalam SKSPS sebagai persiapan bagi risiko tidak terjangka.

“Kita tak tahu apa musibah yang akan terjadi nanti, jadi buatlah persiapan untuk menghadapinya,” katanya.

Seminggu sebelum beliau meninggal dunia, Allahyarham Ramlidin telah mencarum dengan SKSPS menerusi inisiatif SPS Tani di bawah Program SPS Padanan Caruman, yang diperkenalkan kerajaan dalam Bajet 2022.

Inisiatif ini yang bertujuan memudahkan golongan bekerja sendiri dalam sektor yang disasarkan termasuk sektor pertanian, untuk dilindungi Perkeso.

Di bawah Program SPS Padanan Caruman, kerajaan membiayai 80 peratus (RM186.29) daripada caruman Pelan 2 SKSPS, manakala mereka yang bekerja sendiri hanya perlu membayar 20 peratus iaitu sebanyak RM46.60 sahaja bagi mendapat perlindungan Perkeso untuk tempoh setahun.

Sementara itu, John Riba ketika ditemui media berkata, masih ramai golongan bekerja sendiri di luar sana yang belum membuat caruman tersebut.

Jelasnya, hanya sekitar 30 peratus atau 680,784 daripada 2.3 juta individu bekerja sendiri yang menyertai SKSPS.

“Carumlah segera sebelum tarikh tutup SPS Padanan Caruman pada 31 Disember 2022. Manfaat FPM dan FOT di bawah SKSPS adalah faedah yang dibayar kepada orang tanggungan sekiranya pencarum yang bekerja sendiri meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan sendiri.

“Sehingga 1 November lalu, sejumlah RM10.8 juta telah dibayar kepada 3,965 orang penerima faedah di bawah SKSPS,” ujar beliau.