'JDT akan tapau semua pemain terbaik' - Tunku Ismail

Tunku Ismail akan terus membuat pembelian pemain terbaik tempatan. - Foto Agensi
Tunku Ismail akan terus membuat pembelian pemain terbaik tempatan. - Foto Agensi
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim konsisten dengan pendiriannya untuk memberi yang terbaik buat arena bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Usaha tersebut kata beliau, bukan untuk kelab semata-mata, sebaliknya demi kebaikan bola sepak kebangsaan.

Justeru bagi menutup mulut pengkritik, Tunku Ismail berjanji meneruskan pemburuan dengan membeli pemain-pemain terbaik tempatan dan hanya akan melepaskan mereka dalam aksi kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sahaja.

“Oleh yang demikian, sama macam kenyataan saya sebelum ini, saya akan terus 'membunuh' bola sepak Malaysia.

“Saya berjanji akan terus membeli pemain hebat dalam negara dan lepaskan mereka untuk sertai pasukan kebangsaan dalam kalendar FIFA sahaja,” katanya di ruangan komen Instagram pada Ahad.

Kritikan pelbagai pihak tidak mematahkan semangat Tunku Ismail yang bangga dengan prestasi dan kejayaan JDT mencipta pelbagai kejayaan di semua peringkat.

“Well done boys. Ramai yang menyalak setiap tahun. 10 tahun masih tak belajar dan tak terima kejayaan kami.

“Tetapi hanya segelintir sahaja yang bermain bunga api setiap tahun. Betapa untungnya keluarga JDT. Setiap tahun ada perkembangan, setiap tahun Allah kurniakan kejayaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tunku Ismail sedar ramai pengkritik kurang senang dengan JDT yang tidak melepaskan pemain untuk menyertai skuad Harimau Malaya bersaing dalam kempen Piala AFF.

“Piala AFF ada yang tak berakal bising, agaknya dia lupa Malaysia layak Piala Asia pemain JDT yang berhempas pulas,” katanya.

Dalam kempen Piala AFF ketika ini, prestasi baik ditunjukkan oleh anak buah Kim Pan-gon apabila mencatat dua kemenangan dalam dua aksi Kumpulan B sekali gus berpeluang untuk mara ke separuh akhir.

Di sebalik kejayaan itu, skuad yang dianggotai ramai muka baharu dengan hanya seorang pemain JDT iaitu Safawi Rasid.

Tonggak JDT lain tidak bersama skuad Harimau Malaya kerana tidak mendapat pelepasan kelab ekoran saingan Piala AFF berlangsung di luar kalendar FIFA.