Helah Hang Seo mahu cuba jerat Malaysia

Hang Seo menganggap skuad Malaysia sebagai terbaik, biarpun tanpa beberapa tonggak. - Foto Bernama
Hang Seo menganggap skuad Malaysia sebagai terbaik, biarpun tanpa beberapa tonggak. - Foto Bernama
A
A
A

HELAH tersirat jurulatih Vietnam, Park Hang Seo yang dilihat selesa merendah diri apabila menyifatkan skuad Malaysia ketika ini adalah yang terbaik biarpun mengharungi kancah Piala AFF 2022 tanpa beberapa tonggak utama.

Mungkin ia sebagai serangan psikologi Hang Seo yang terkenal dengan kelicikannya 'menjerat' pasukan lawan menjelang aksi menentang Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa.

Pengendali dari Korea Selatan itu memiliki rekod baik dengan sifar kekalahan berdepan Malaysia sejak membimbing Vietnam pada 2017.

Saya fikir pasukan Malaysia ketika ini adalah skuad terbaik. Mereka ada pengalaman yang baik dan apa kami perlu lakukan adalah meletakkan pemain serta formasi yang sesuai untuk berdepan Malaysia.

“Saya bertuah ada rekod yang baik berdepan Malaysia, tapi saya tidak pasti mengenai perlawanan esok (Selasa). Kami hanya mahu lakukan yang terbaik,” katanya pada sidang media di Hanoi pada Selasa.

Tanpa tonggak utama yang majoritinya dari Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berpengalaman beraksi di kejohanan tertinggi Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL), bukan isyarat yang skuad ketika ini tidak mampu bersaing.

“Walaupun tanpa pemain utama, saya rasa pasukan yang Malaysia ada ini adalah yang terbaik,” ujar Hang Seo.

Malaysia beraksi tanpa majoriti pemain utama yang membawa negara ke pentas Piala Asia 2023 sebelum ini, namun bagi Hang Seo, strategi permainan sama iaitu kepantasan bakal diterapkan pasukan pelawat.

Artikel Berkaitan:

Hasil 'air tangan' Hang Seo, Vietnam merekodkan lima kemenangan dan satu seri daripada enam aksi menentang Malaysia dengan sebahagian besar di pentas Piala AFF.

Vietnam yang baru beraksi satu perlawanan ketinggalan tiga mata di belakang Malaysia dan mereka berpeluang merampas kedudukan teratas kumpulan sekiranya menang.

Dalam pada itu, Hang Seo turut menghamburkan pujian mengenai pencapaian ketua jurulatih Malaysia yang juga rakan senegaranya, Kim Pan-gon apabila berjaya meningkatkan prestasi Harimau Malaya ketika ini.

“Dia (Pan-gon) jurulatih yang bagus dan ada banyak pengalaman terutama ketika bersama skuad kebangsaan Hong Kong,” katanya.