Restoran tular tikus 'jamah' ayam goreng ditutup 14 hari

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang menjilat ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang menjilat ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur yang tular di media sosial kerana seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan ditutup selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan penutupan itu dibuat bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Ujarnya, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat pada Sabtu.

"Sebanyak enam notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.

"KKM menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang ‘menjamah’ ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.

Video tular dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter bernama Zoey Hanafiah mendakwa ia berlaku ketika dia sedang makan di premis berkenaan.

Sementara itu, Noor Hisham dalam masa sama menegaskan pihaknya memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah," katanya.