Kaedah eklektik dan interdisiplin

Disebabkan situasi teks yang pelbagai, pemikir sastera mencadangkan mengapa tidak digunakan banyak teori dalam sesebuah kerja kritikan atau kajian sastera.
Disebabkan situasi teks yang pelbagai, pemikir sastera mencadangkan mengapa tidak digunakan banyak teori dalam sesebuah kerja kritikan atau kajian sastera.
A
A
A

PANDANGAN bahawa setiap teks sastera itu boleh didekati dengan apa juga teori sastera, mula dipakai dan berkembang pada zaman pascamoden ini.

Sesebuah teks sastera yang mempunyai nilai dan mutu tinggi, jika didekati dengan teori apa pun, akhirnya akan dapat menemukan nilai dan mutu karya tersebut.

Bagaimanapun adanya pendapat yang menyatakan, tidak semua teori sastera itu dapat dipaksakan kepada semua teks sastera.

Genre berbeza, aliran tidak sama dan dorongan sosial yang sentiasa berubah-ubah, memerlukan kaedah penelitian tidak serupa.

Puisi lebih menekankan kepada rentak dan muzika bahasanya, cerpen kepada kesatuan komposisinya, novel dengan kekayaan naratifnya dan drama kepada eksploitasi dialognya, kesemuanya memerlukan teori sastera yang sesuai dengan prinsip formalasi dan tekstualisasi masing-masing.

Antara sebuah teori sastera dengan yang lainnya mempunyai definisi, konsep, sejarah, kriteria, prinsip, kaedah dan penekanan yang juga berbeza.

Daripada teori moden, kita melihat bahawa moral mementingkan ajaran, sosiologi menegaskan sosio-ekonomi-politik, sejarah kepada nasib masa silam dengan semangat zamannya, dan formalistik terlalu ke dalam diri dengan meneliti aspek-aspek pembinaan komponennya.

Teori pascamoden pula, seperti strukturalisme berhemat dalam aspek hubungan, kesatuan dan regulasi diri, semiotik kepada rangkaian makna ikon, indeks dan simbol, intertekstualiti meneliti warna kehadiran teks dan dekonstruksi kepada penggalian rangkaian komposisi karya.

Artikel Berkaitan:

Perbezaan itu tidak sahaja terdapat dalam kalangan teori yang berbeza pada kaedah dan metodologinya, tetapi dalam teori yang serumpun pun sudah berubah-ubah.

Contohnya dalam keluarga psikoanalisis: seperti teori Sigmund Freud, Carl Jung, Jacques Lacan dan Harold Bloom masing-masing di dalam negeri tersendiri dan terpecah-pecah penelitiannya.

Menyedari situasi teks yang pelbagai dan teori sastera yang rencam; pemikir sastera mencadangkan mengapa tidak digunakan banyak teori dalam sesebuah kerja kritikan atau kajian sastera.

Sewaktu berhadapan dengan Lelaki Januari karya Hafizah Iszahanid (2014), mengapa tidak digunakan sekali gus pendekatan moral, semiotik dan dekonstruksi?

Dengan berbuat demikian pemikiran yang pejal dalam setiap teori itu dapat cairkan, dan diharapkan berhasil pula menatijahkan pelbagai penilaian dan dapatan.

Untuk berbuat demikian kita usah khuatir, kerana setiap karya yang baik itu, akhirnya akan tetap menemukan nilainya, sementara karya yang buruk akan tercium aroma hanyirnya.

DEFINISI

Dalam sebuah kerja penilaian atau kritikan berlaku penyatuan atau gabungan pelbagai teori dan pendekatan. Pandangan inilah yang akhirnya melahirkan sebuah kaedah diberi nama eklektik.

Definisinya ialah mengambil lebih daripada satu, sama ada dua, tiga atau empat teori sastera untuk digunakan menilai sesebuah teks sastera.

Struktur dasar eklektik, tidak sahaja kepada penyatuan teori tetapi pemilihan teorinya terbaik dan sesuai. Maksudnya cara memilih teori itu mempunyai justifikasinya, selari dengan wajah teksnya. Dengan perkataan lain kombinasi pelbagai teori itu, harus sejajar dengan karya yang hendak dinilai.

Kaedah ini sudah tentu menuntut penggunanya, seorang yang kaya dengan pelbagai teori dengan menguasai yang klasik, moden dan pascamoden.

Inilah masanya teori klasik yang hampir-hampir dilupakan itu boleh dikahwinkan dengan teori moden.

Sesebuah teori besar seperti keluarga Marxisme, zuriat strukturalisme dan jalur psikoanalisis, boleh diaplikasikan berdasarkan kepada kepelbagaian tujahannya, asalkan tidak berlaku percanggahan.

Adalah wajar, setelah dilakukan gabungan, kombinasi dan integrasi daripada pelbagai teori itu, akhirnya digunakan teori sastera Islam sebagai saringannya.

Misalnya, puisi Saleeh Rahamad bersesuaian dengan teori formalistik, semiotik dan Islam.

Cerpen karya Saifullizan Yahaya bertepatan dengan teori strukturalisme, semiotik, fenomenologi dan Islam. Drama Siti Jasmina Ibrahim dengan teori sejarah, dekonstruksi, teksdealisme dan Islam.

Eklektik boleh diperluaskan berdasarkan perspektif penilaian dan analisisnya, mengikut aspek pembinaan struktur formal sesebuah teks.

Sewaktu menganalisis plot memakai formalistik, citra sosial boleh dipakai teori sosiologi, menghuraikan konflik watak dengan psikoanalisis, bahasa dengan stilistik, sudut pandangan dengan teori genetik dan latar dengan intertekstualiti.

Wibawa eklektikal juga terletak kepada campuran pelbagai teori yang menyesuaikan dengan warna teks.

Objektif utamanya adalah untuk menghasilkan sebuah penilaian yang adil dan tepat serta mampu membuka pelbagai perspektif dan berbagai tafsiran. Signifikasinya menghasilkan kritikan jitu dan membangunkan sastera serta pertolongan kepada pengarang.

APLIKASI

Kaedah yang mirip, sedasar dengan eklektik ialah kaedah interdisiplin. Interdisiplin lebih mengutamakan aplikasi daripada pelbagai disiplin ilmu, terutamanya yang berada dalam lingkungan keilmuan sastera seperti sosiologi, sejarah, anthropologi, psikologi, linguistik, ekonomi, Islam dan sebagainya.

Boleh juga daripada kalangan ilmu sains, seperti kedoktoran, matematik, geologi, astronomi dan apa sahaja disiplin keilmuan lainnya.

Interdisiplin sudah lama diterapkan di Perancis, dan mempunyai kaitan dengan bidang sastera bandingan.

Fernand Baldensperger, Jean-Marie Carre dan Paul Van Tieghem adalah antara pengemuka dan pengamal kaedah interdisiplin ini; dalam erti kata bekerja untuk sastera bandingan yang mengaplikasikan pendekatan interdisiplin.

Telah diakui bahawa interdisiplin memiliki keistimewaannya, kerana teks sastera ditafsir menurut ilmu yang sifat organiknya yang berbeza dengan kelaziman ilmu sastera.

Sebuah puisi, cerpen atau drama didekati dengan ilmu kedoktoran, sudah tentu menghasilkan pandangan yang bersandarkan kepada intipati keilmuannya. Dapatannya menjelaskan sifat taraf kesihatan khalayak misalnya, ia merupakan sumbangan wajah lain terhadap perkembangan sastera.

Dalam kaedah interdisiplin terdapat dua konsep iaitu dalaman dan luaran. Penelitian dalaman ialah ruang lingkup yang mengkaji perihal ekonomi, masyarakat, politik, pendidikan dan sebagainya dikenali sebagai supranasional. Dan yang luaran ialah analisis hal-hal di luar lingkungan supranasional, tetapi mempunyai kaitan dengan teks sastera disebut sebagai supernasioal.

Dengan itu huraian supernasional lebih luas, mencakup ke pelbagai persoalan dan subjek, hasilan analisisnya lebih holistik dan komprehensif.

Interdisiplin telah mendapat kedudukan kukuh sebagai salah satu kaedah juga pendekatan, yang diaplikasikan oleh sastera bandingan.

Dalam keadaan dunia serba canggih hari ini, persilangan budaya yang mewujudkan transmisi dan transmigrasi berlaku dengan pantasnya, dan di sinilah pentingnya kaedah interdisiplin itu.

Implikasi penerapan kaedah interdisiplin itu, budaya dapat dimesrakan dan sejarah dapat dijinakkan, mewujudkan persefahaman dan mengurangkan konflik sesama manusia.

Begitulah, kaedah eklektik mengaplikasikan pelbagai teori sastera, dan kaedah interdisiplin menggunakan pelbagai disiplin ilmu.

Sesungguhnya kedua-duanya adalah penwelitian ke arah penghayatan teks sastera yang lebih tepat, konkrit dan valid.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia