Mangsa banjir di Terengganu terus menurun

Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus merekodkan penurunan.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus merekodkan penurunan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus merekodkan penurunan iaitu kepada seramai 15,243 orang berbanding 18,958 orang pada jam 10 malam Jumaat.

Setakat jam 8 pagi Sabtu, sebanyak 112 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka bagi menempatkan 4,182 keluarga terjejas banjir di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,431 orang melibatkan 1,150 keluarga.

"Semua mereka ditempatkan di 26 PPS yang dibuka sejak hari pertama banjir melanda daerah itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, seramai 759 keluarga melibatkan 2,988 mangsa yang terjejas banjir di Kuala Nerus kini berlindung di 14 PPS dan jumlah itu sedikit berkurangan berbanding 3,004 orang pada jam 10 malam Jumaat.

Beliau berkata, sebanyak 21 PPS masih dibuka di Dungun dan seramai 2,604 mangsa dari 666 keluarga ditempatkan di sana.

"Seramai 2,138 penduduk melibatkan 567 keluarga di Besut masih terjejas banjir dan tinggal sementara di 30 PPS di sana.

"Bagi Kemaman pula, sebanyak empat PPS dibuka di sana bagi menempatkan 502 keluarga melibatkan 1,970 penduduk yang dipindahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penduduk Kuala Terengganu masih terkesan banjir dengan seramai 1,811 mangsa daripada 490 keluarga kini berlindung sementara di 10 PPS.

Bagaimanapun katanya, keadaan banjir di Setiu dan Marang semakin pulih dengan jumlah mangsa direkodkan berkurangan berbanding sebelum ini.

"Sebanyak enam PPS masih beroperasi di Setiu bagi menempatkan 225 mangsa, manakala Marang pula, hanya 76 mangsa terdiri daripada penghuni sebuah madrasah masih tinggal di sebuah PPS," katanya.