Stesen petrol, kilang minyak masak tenggelam banjir

Situasi banjir di beberapa daerah Kelantan yang terjejas banjir. - Foto Bernama
Situasi banjir di beberapa daerah Kelantan yang terjejas banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan tiga stesen petrol dan dua kilang pembungkusan minyak masak peket terjejas banjir di negeri ini bermula Ahad lalu.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, tiga stesen petrol terlibat ialah masing-masing satu di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

“Selainnya, sebuah kilang pembungkusan minyak masak yang ditenggelami air di Beris, Bachok dan satu di Pasir Puteh melibatkan pekerja-pekerja kilang terjejas.

“Kesemua stesen dan kilang tersebut tutup operasi selama dua hari dan sudah menyambung operasi pada Selasa kecuali di Beris kerana melibatkan mesin rosak,” katanya pada sidang akhbar selepas Walkabout Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di Pasaraya Mydin di Tunjong di sini, pada Jumaat.

Azman menunjukkan bekalan minyak masak yang dipastikan ada di pasaran di Kelantan.
Azman menunjukkan bekalan minyak masak yang dipastikan ada di pasaran di Kelantan.

Beliau berkata, keadaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan minyak masak dan petrol di negeri ini berikutan kementerian tersebut bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan jika bencana.

“Persiapan dilakukan termasuk memastikan 17 kilang pembungkusan minyak masak peket di negeri ini masing-masing bersedia dengan 1.7 tan stok penimbal bagi berdepan musim tengkujuh supaya bekalan tidak putus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, KPDN negeri itu turut mengagihkan 10 tan metrik bantuan makanan keperluan asas kepada mangsa banjir di 11 pusat pemindahan sementara PPS.

Artikel Berkaitan:

“Misi Bantuan Banjir seperti gula, minyak masak dan beras diberikan kepada 511 keluarga mangsa banjir di Kuala Krai, Kota Bharu dan Bachok.

“Misi diteruskan esok ke lokasi terjejas banjir di Pasir Puteh dan Tanah Merah,” katanya.