Bantuan banjir MySinar fokus kawasan kurang tumpuan

Bantuan banjir oleh MySinar bergerak ke kawasan banjir pada jam 4.15 petang Jumaat.
Bantuan banjir oleh MySinar bergerak ke kawasan banjir pada jam 4.15 petang Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan banjir yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) akan memberi fokus kepada kawasan di Terengganu dan Kelantan yang kurang mendapat tumpuan.

Ketua Projeknya, Rosdi Md Hasan berkata, bantuan yang diterima sangat memberangsangkan dan akan diagihkan ke Besut, Terengganu manakala Kelantan di Pasir Puteh, Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Pasir Mas.

“Di kawasan-kawasan yang saya sebutkan ini, air masih tidak surut lagi dan ramai masih tidak mendapat bantuan. Jadi, kami akan fokuskan kepada kawasan ini terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Rosdi Md Hasan
Rosdi Md Hasan

Pada Rabu, MySinar melancarkan Program Pengumpulan Barang-Barang Keperluan untuk Mangsa Banjir di Kelantan dan Terengganu di Kompleks Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Program diadakan pada 21 dan 22 Disember bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Menurut Rosdi, pelbagai barangan yang diterima oleh pihaknya sama ada secara individu mahupun daripada syarikat korporat antaranya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi).

Jelas beliau, setiap bantuan yang diberikan akan disalurkan dengan sebaiknya kepada penerima sama ada secara terus ke rumah ataupun ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Artikel Berkaitan:

Barangan-barangan yang disumbangkan dimasukkan ke dalam lori untuk dihantar ke Kelantan dan Terengganu.
Barangan-barangan yang disumbangkan dimasukkan ke dalam lori untuk dihantar ke Kelantan dan Terengganu.

“Disebabkan kawasan yang kami ingin pergi masih dinaiki air, dari segi keselamatan, kami akan berkolaborasi dengan pihak bomba dan anggota keselamatan yang lain di sana untuk menyampaikan bantuan.

“Kita akan hantar barang-barang ini kepada mereka dan mereka akan hantar ke kawasan-kawasan yang sepatutnya,” katanya.

Menurut beliau, setakat jam 2.15 petang Jumaat, sebanyak RM10,000 diterima daripada orang ramai yang menyalurkan bantuan.

“Wang ini kita akan beli barangan asas seperti mi segera, makanan dalam tin, biskut kering dan pelbagai lagi,” ujarnya.