Tommy arah dakwa Shahrir walau kertas siasatan tak lengkap: Saksi

Tommy
Tommy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tetap mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Tan Sri Shahrir Ab Samad walaupun kertas siasatan terhadapnya tidak lengkap.

Pegawai Penyiasat SPRM, Nurzahidah Yacop, 35, berkata, beliau menerima kertas siasatan daripada pihak pendakwaan bahawa Thomas memberi izin pada 15 Januari 2020 untuk mendakwa bekas Pengerusi Felda itu.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Syed Faisal Al-Edros: Puan (Nurzahidah) selaku pegawai penyiasat SPRM, mengambil tugas ini untuk melaksanakannya dengan penuh kejujuran. Di lubuk hati puan, puan tahu siasatan puan belum lengkap sepenuhnya, namun puan telah menerima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk menuduh (Shahrir) dan mendapat izin daripada Tan Sri Tommy Thomas untuk buat pendakwaan.

Nurzahidah: Ya.

Syed Faisal Al-Edros: Saya cadangkan tuduhan yang dilemparkan terhadap anak guam saya (Shahrir) adalah berasaskan kepada satu kertas siasatan yang belum lengkap sepenuhnya?

Nurzahidah: Ya.

Syed Faisal Al-Edros: Tan Sri Tommy Thomas tetap mengarahkan untuk mendakwa (Shahrir)?

Artikel Berkaitan:

Nurzahidah: Ya.

Terdahulu, Penolong Penguasa SPRM itu bersetuju dengan peguam bahawa berdasarkan transaksi daripada buku akaun bank Shahrir, beliau menggunakan wang peribadinya lebih RM2.6 juta untuk kegiatan politik sebelum menerima RM1 juta daripada Najib, pada 28 Nov 2013.

Bagaimanapun, Nurzahidah mengakui beliau tidak pernah menyiasat wang RM1 juta yang diterima Shahrir daripada Najib adalah menggantikan wang pencennya (Shahrir), walaupun Shahrir menegaskan perkara tersebut sebanyak lapan kali semasa siasatan dijalankan pada 2019.

Menurut Nurzahidah, beliau memaklumkan kepada pegawai atasan berhubung wang ganti balik itu, namun tidak diarahkan untuk menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Syed Faisal Al-Edros: Bagi pandangan puan, sebagai pegawai penyiasat SPRM, wang ganti balik ini (RM1 juta) tidak disiasat. Adakah ia adil bagi anak guam saya, walaupun beliau (Shahrir) berkali-kali mengatakan ia adalah wang ganti balik.

Nurzahidah: Tidak adil bagi Tan Sri Shahrir, tetapi saya tidak pernah menerima dokumen ini (pengeluaran wang RM2.6 juta). Siasatan saya selepas tarikh penerimaan wang RM1 juta.

Kepada soalan Syed Faisal Al-Edros, adakah saksi itu berasa musykil terhadap tindakan pegawai atasannya yang tidak mengarahkan untuk menyiasat mengenai wang ganti balik, Nurzahidah menjawab "Ada”.

Syed Faisal Al-Edros: Oleh kerana puan kata ia adalah satu sudut siasatan yang penting (wang ganti balik), puan mahu siasat sendiri, tetapi takut untuk langgar arahan.

Nurzahidah: Ya.

Semalam, saksi penting itu memberitahu mahkamah bahawa wang RM1 juta yang diterima Shahrir daripada Najib adalah untuk menggantikan wang pencennya yang digunakan bagi kegiatan politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Pada 21 Januari 2020, Shahrir, 73, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 Januari depan. - Bernama