Bas percuma Cat Bridge untuk rakyat Pulau Pinang

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersama Rapid Penang memperkenalkan satu lagi perkhidmatan bas percuma, Cat Bridge yang akan menghubungkan Bukit Mertajam dan Komtar.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan itu akan mula beroperasi pada 1 Januari ini dengan laluan percubaan selama enam bulan.

Menurutnya, perkhidmatan itu adalah satu usaha untuk mengoptimumkan jaringan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang khususnya dalam mengintegrasi kawasan pulau dengan seberang.

"Kerajaan negeri bersama Rapid Penang telah bersetuju memperkenalkan satu lagi perkhidmatan bas percuma, Cat Bridge baharu yang akan menghubungkan Bukit Mertajam dan Komtar.

"Perkhidmatan Cat Bridge Bukit Mertajam (CT14) merangkumi laluan sejauh 26 kilometer akan bermula dari Summit Bukit Mertajam melalui Bandar Perda dan Jambatan Pulau Pinang serta terus menghala ke Terminal Bas Komtar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zairil menambah, sebanyak lima buah bas akan digunakan untuk pengoperasian laluan baharu tersebut.

"Purata masa perjalanan ke destinasi akhir dijangka mengambil masa selama 60 hingga 85 minit.

"Penumpang boleh mengenal pasti laluan bas ini dengan 'wrapping bus' berwarna merah iaitu Bukit Mertajam Bas Merah Ke Komtar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan negeri telah menyediakan inisiatif bas percuma di seluruh Pulau Pinang melalui pembiayaan penuh Pas Mutiara bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2021 lalu.

Kerajaan Pulau Pinang meneruskan perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma ke seluruh negeri ini pada setiap masa bagi tahun ini.