Waris mangsa maut renjatan elektrik terima faedah Perkeso

Nora Yaacob (Laporan Sinar Harian)
Nora Yaacob (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

TUMPAT - Waris Allahyarham Sakinah Mohd Nadzir, 29, seorang daripada mangsa yang maut akibat terkena renjatan elektrik, Isnin lepas, layak menerima pencen penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, pihaknya telah melakukan semakan dengan majikan Allahyarham iaitu pemilik Tadika Al-Munir dan mendapati Sakinah merupakan seorang pencarum Perkeso.

"Ibu bapa Allahyarham iaitu Mohd Nadzir Mohamed, 67, dan Zainun Sulaiman, 62, serta adik lelaki mangsa yang kini berumur 19 tahun akan menerima pencen penakat kira-kira RM332.50 secara bulanan.

"Ibu dan bapa Allahyarham akan dibayar seumur hidup manakala adik lelaki mangsa yang kini berumur 19 tahun dibayar hingga berumur 21 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis

Nora berkata, Zainun dan Mohd Nadzir juga layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM1,000 seorang.

Sebelum itu, Nora menyerahkan cek bayaran Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 kepada Zainun dan Mohd Nadzir di kediaman keluarga itu di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini.

Pada Isnin lepas, tiga beradik perempuan, Sakinah, Nor Syazwani Mohd Nadzir, 33, dan Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27, meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik selepas seorang daripada mereka dikatakan memegang sebatang tiang di rumah jiran. - Bernama

Artikel Berkaitan: