Lelaki ditahan provokasi polis gara-gara tak puas hati disaman

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Gara-gara tidak berpuas hati selepas disaman, seorang lelaki ditahan kerana membuat provokasi dan menghalang tugas polis dalam kejadian di Jalan 16/11, Damansara, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan disaman selepas dia ditahan di sekatan jalan raya di sini kerana memandu sambil menggunakan alat telekomunikasi.

"Selepas disaman, suspek telah melakukan provokasi dengan mempertikaikan kesalahan seperti di dalam saman dan turut merakam video kejadian.

"Anggota polis telah menasihati suspek supaya memberhentikan perbuatan itu dan memberi kerjasama dengan menandatangani surat saman," katanya dalam kenyataan Khamis.

Fakhrudin berkata, suspek bagaimanapun enggan memberikan kerjasama kepada anggota bertugas dan terus membuat provokasi.

Susulan itu, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 187 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

"Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: