Iklan jawatan kosong dalam talian merosot

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A
PUTRAJAYA - Bilangan kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian mencatatkan sedikit penurunan iaitu 5.9 peratus pada suku ketiga tahun ini kepada 190,170 berbanding 202,102 kekosongan pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kekosongan jawatan juga mencatatkan kejatuhan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.2 peratus berbanding 158.2 peratus yang direkodkan pada suku ketiga tahun lepas.

Dalam satu kenyataan sempena laporan Analisis Data Raya Job Market Insights: Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia bagi suku ketiga 2022 yang dikeluarkan pada Khamis, beliau berkata, bagi kekosongan jawatan mengikut kategori pekerjaan yang diiklankan dalam talian, golongan profesional meliputi jumlah terbesar iaitu 46.1 peratus atau 87,587 kekosongan pada suku tersebut.

"Ini diikuti 18.1 peratus (34,434) dalam kategori juruteknik dan profesional bersekutu, manakala pengurus menyumbang 12.8 peratus (24,417),” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keseluruhan sektor ekonomi pula, majoriti kekosongan jawatan yang diiklankan secara dalam talian tertumpu kepada sektor perkhidmatan iaitu 67.6 peratus atau 128,575 kekosongan.

Menurut Mohd Uzir analisis lanjut mengikut aktiviti ekonomi menunjukkan perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal membentuk komposisi terbesar jawatan kosong yang diiklankan dalam talian iaitu 23.7 peratus (45,150), diikuti aktiviti pembuatan (21.5 peratus atau 40,903); profesional, saintifik dan teknikal (21,150) dan penginapan dan perkhidmatan makanan (13,161).

Mengulas mengenai jawatan kosong yang diiklankan mengikut negeri pula, beliau berkata, kesemua negeri mencatatkan penurunan dalam tempoh berkenaan kecuali Labuan.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kekosongan jawatan tertinggi dengan 79,183 penawaran, diikuti Selangor (27,424), Johor (14,815) dan Pulau Pinang (6,340).

Beliau berkata, terdapat beberapa keadaan yang mempengaruhi aktiviti pengambilan pekerja, antaranya majikan masih selektif dalam mengambil pekerja baharu bagi mengisi pekerjaan kritikal.
Artikel Berkaitan:


Katanya, keadaan juga agak mencabar untuk mencari pekerja yang berkelayakan dengan kekangan kewangan dihadapi golongan peniaga terutama berikutan peningkatan inflasi dalam ekonomi. - Bernama