LZNK sasar kutipan zakat RM256 juta

Tengku Sarafudin Badlishah (dua dari kanan) berkenan menyerahkan replika cek kepada penerima bantuan dialisis, Mohamad Zain Sulaiman pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat dan Wakalah Agihan Zakat di Menara Zakat, di sini pada Khamis.
Tengku Sarafudin Badlishah (dua dari kanan) berkenan menyerahkan replika cek kepada penerima bantuan dialisis, Mohamad Zain Sulaiman pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat dan Wakalah Agihan Zakat di Menara Zakat, di sini pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM256 juta di Kedah tahun ini.

Pengerusi LZNK merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali berkata, kutipan zakat disasarkan meningkat sebanyak 5.79 peratus ataupun RM14 juta berbanding kutipan RM242 juta pada tahun lepas.

Beliau memberitahu, sehingga 22 Disember, jumlah kutipan zakat yang berjaya dikutip oleh LZNK telah pun mencecah sebanyak RM214 juta.

"Jumlah keseluruhan agihan dibuat dalam tempoh sama pula telah mencecah RM202 juta iaitu kira-kira 95 peratus daripada jumlah kutipan zakat.

"Ia membuktikan bahawa zakat yang dibayar oleh semua rakyat Kedah telah pun diuruskan dan diagihkan kepada penerima berkelayakan mengikut skim dan syarat ditetapkan seperti dikehendaki syarak," katanya.

Beliau berucap sedemikian pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat dan Wakalah Agihan Zakat yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Zaheeda Mohamad Ariff di Menara Zakat, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Norizan berkata, beliau bagi pihak LZNK berharap kerjasama dari semua pihak dan lapisan masyarakat untuk terus mengetengahkan dan menguar-uarkan usaha itu kepada seluruh masyarakat umum.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi memberi kesedaran serta persepsi baik, sekali gus memungkinkan lebih ramai pihak untuk terus membayar zakat dan diagihkan kepada asnaf layak di Kedah," katanya.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, semua guru dan kakitangan di 719 sekolah rendah dan menengah di Kedah telah melaksanakan kewajipan zakat pendapatan masing-masing melalui potongan gaji kepada LZNK dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM28.79 juta.

"Daripada jumlah itu, LZNK telah mengagihkan semula sebanyak 37.5 peratus iaitu sebanyak RM10.8 juta kepada sekolah terlibat melalui skim wakalah agihan zakat," katanya.

Beliau berharap sekolah dapat menggunakan peruntukan segera itu bagi menyelesaikan sebaik mungkin isu kemiskinan seperti tidak mampu membayar yuran sekolah dalam kalangan pelajar dengan agihan wang sebanyak RM10.8 juta itu.

Sebelum itu, Tengku Sarafudin turut berkenan menerima serahan zakat daripada enam syarikat korporat termasuklah Maybank Islamic Berhad, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad, Etiqa Family & General Takaful Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jumlah keseluruhan bayaran zakat RM4.59 juta.

Baginda turut berkenan menyerahkan wakalah agihan zakat daripada syarikat korporat berupa 22 mesin hemodialisis sebanyak RM800,000 dan wakalah agihan zakat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah melibatkan 719 sekolah rendah dan menengah di Kedah sebanyak RM10.8 juta.

Raja Muda Kedah turut berkenan mengurniakan agihan zakat kepada asnaf melibatkan lapan skim agihan terbesar LZNK dengan jumlah keseluruhan RM112.3 juta.