Mangsa banjir di 5 negeri lebih 66,000

Situasi banjir di seluruh negara sehingga jam 6 pagi Khamis.
Situasi banjir di seluruh negara sehingga jam 6 pagi Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri mencatatkan penurunan kepada 66,197 orang melibatkan 18,903 keluarga setakat jam 6 pagi Khamis berbanding 72,510 orang pada Rabu.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu merekodkan jumlah tertinggi seramai 35,981 mangsa diikuti Kelantan (30,107), Johor (48), Pahang (35) dan Perak (26).

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berlarutan hingga 24 Disember dan berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di negeri-negeri Utara, Timur Semenanjung dan Sabah.

Keadaan itu menyebabkan beberapa negeri terutama di Pantai Timur mengalami banjir teruk sejak Sabtu lalu.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu susulan banjir yang berlaku adalah lebih parah dari biasa.

Artikel Berkaitan:


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 19 Disember lalu meluluskan Perolehan Darurat RM500,000 bagi membiayai keperluan segera serta bantuan kepada mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan tersebut bagi memastikan barangan keperluan tambahan di stor, mini depoh dan pangkalan hadapan di semua daerah terjejas sentiasa tersedia.