Negeri Sembilan bakal wujudkan Zon Perdagangan Bebas

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bakal mewujudkan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) di kawasan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan tersebut.

"Bagaimanapun, kita kena cari tapak (parcel) yang sesuai dan mengkaji model perniagaan apa yang sesuai untuk diletakkan dalam zon FTZ di MVV 2.0.

"... Dan kita kena tengok perniagaan apa yang sesuai di FTZ dan melihat keperluan perindustrian, perniagaan biasa atau perniagaan intergrated (industri, pusat komersial dan pusat beli-belah)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Aminuddin berkata, usaha untuk mewujudkan FTZ di MVV 2.0 akan diteruskan termasuk membawa masuk pelabur bagi menjayakan projek tersebut.

Dalam perkembangan berlainan Aminuddin berkata, kutipan hasil kerajaan Negeri Sembilan bagi tahun 2022, berjaya melebihi sasaran.

"Setakat 21 Disember adalah RM490 juta yang mana sasaran kerajaan negeri untuk tahun ini ialah RM432 juta, namun, setakat hari ini kutipan hasil kita telah melepasi sasaran.

"Kita akan berusaha untuk mencapai kutipan hasil RM500 juta menjelang 31 Disember ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga merakamkan takziah kepada keluarga dan mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor dan mangsa banjir terutamanya di Terengganu dan Kelantan yang sedang menghadapi bencana besar.

"Kerajaan negeri berasa simpati dan difahamkan air belum surut lagi untuk kerja membantu mangsa terlibat, di samping itu kepada mangsa terkorban di Batang Kali, kami berharap keluarga terlibat dapat bersabar, apa yang berlaku adalah perkara di luar jangka," katanya.

Sementara itu berkenaan trend tanah runtuh dan mendapan tanah yang berlaku di negeri ini, beliau berkata, agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Bandaraya Seremban telah mengenal pasti beberapa kawasan hot spot cerun di negeri ini.