Negeri Sembilan, Sabah kongsi mata di Paroi

Pemain Negeri Sembilan, Zainal Abidin Jamil (kiri) mengawal bola dari pemain Sabah, Kwang Min-ko pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini. - Foto Bernama
Pemain Negeri Sembilan, Zainal Abidin Jamil (kiri) mengawal bola dari pemain Sabah, Kwang Min-ko pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT Negeri Sembilan untuk melakar kemenangan ketiga musim ini tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 ketika melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin.

Bagaimanapun, Sabah dilihat lebih mendominasi perlawanan apabila memiliki beberapa peluang mendahului dengan kesempatan terbaik hadir pada minit ke-15.

Namun skuad Rusa, K Devan yang tewas 1-2 kepada Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 4 April lalu, berjaya menyaingi asakan pasukan pelawat.

Kesungguhan tuan rumah untuk meraih tiga mata akhirnya dijelmakan menerusi sepakan percuma daripada Tommy Mawat Bada pada minit ke-21 bagi memimpin perlawanan separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee yang tampil ke bumi Hoben Jang Hoben dengan misi menamatkan rentetan kekalahan dalam dua perlawanan terakhir, kembali agresif.

Sebagai rekod, The Rhinos tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Johor Darul Ta'zim (0-4) diikuti Kuala Lumpur City (0-2) sebelum ini selepas cemerlang dalam perlawanan awal musim.

Percaturan Kim Swee akhirnya berhasil apabila gol penyamaan dicari pasukan pelawat akhirnya dihadiri menerusi tandukan kapten The Rhinos, Park Tae-su pada minit ke-76 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Keputusan seri itu menyaksikan Negeri Sembilan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi tujuh perlawanan untuk berada di kedudukan kesembilan liga.

Sementara itu, Sabah pula berada di kedudukan keempat liga dengan 14 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.