Kerajaan Johor cari penyelesaian

Sahruddin (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas dengan insiden letupan dan kebakaran Rapid, Pengerang di Masjid Kampung Lepau, semalam.
Sahruddin (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas dengan insiden letupan dan kebakaran Rapid, Pengerang di Masjid Kampung Lepau, semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Isu perpindahan disuarakan penduduk di Kampung Lepau susulan insiden letupan dan kebakaran di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang baru-baru ini, akan dibawa ke dalam mesyuarat exco kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri sedia maklum kes di Kampung Lepau kerana beliau bersama beberapa exco telah pun mengadakan lawatan ke kawasan tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri prihatin dengan kejadian itu dan beliau difahamkan pihak Petronas serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengambil tindakan yang perlu.

"Penduduk kampung sekiranya ada apa-apa masalah, rujuk kepada pejabat daerah. Pihak Petronas pula kena selalu buat 'engagement' dengan penduduk kampung dan libatkan pejabat daerah supaya penduduk dapat maklumat lebih tepat.

"Tentang isu lain sama ada perpindahan atau lain-lain, semua itu kita akan bawa ke dalam mesyuarat exco kerajaan negeri.

"Kita akan bincang dengan Petronas dan pihak terlibat apa solusi terbaik," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada penduduk terjejas dengan insiden berkenaan di Masjid Kampung Lepau, semalam.

Tambahnya, apa diharapkan penduduk yang terkesan akibat letupan dan kebakaran Rapid itu diberi kesabaran di mana kerajaan negeri akan sedia membantu mereka terlibat. Terdahulu, seramai 10 orang penduduk Kampung Lepau menerima sumbangan JKM yang disampaikan Sahruddin pada majlis itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Lepau, Zainal Abidin Abd Rahim berkata, sebanyak 65 buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan di mana kesemuanya telah dilaporkan di balai polis.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang berlaku membuatkan penduduk merasa keadaan tidak selamat.

"Meskipun ada langkah-langkah keselamatan, tetapi penduduk rasa tidak selamat dan ada yang trauma.

"Hasil perbincangan penduduk kampung ada yang cuba memberi pandangan kalau boleh pihak menteri besar boleh fikirkan kebimbangan penduduk dan apakah tindakan yang kerajaan perlu ambil.

"Sama ada melakukan perpindahan kampung atau sebagainya kita serah kepada kerajaan untuk ambil tindakan," katanya.